suria

Tak perlu buang masa caci maki syarikat penerbangan jika bagasi rosak... Lebih baik ikut panduan ini, terus tuntut ganti rugi

Tuntutan ganti rugi bagasi rosak boleh dibuat mengikut cara yang betul.

SITUASI bagasi rosak akibat kecuaian syarikat penerbangan pasti meninggalkan pengalaman buruk buat pengembara.

Namun berita baiknya adalah anda mungkin berhak untuk mendapatkan ganti rugi sekiranya berlaku keadaan tersebut.

Terdapat prosedur tertentu yang perlu diikuti sekiranya anda ingin membuat tuntutan ganti rugi bagasi seperti dikongsi Zalya Zahari dalam satu hantaran di platform X.

1. Ambil gambar bagasi anda sebelum check-in

Sebelum menyerahkan bagasi di kaunter daftar masuk, pastikan untuk mengambil gambar daripada semua sudut.

Gambar ini akan menjadi bukti kukuh bahawa bagasi anda dalam keadaan baik sebelum penerbangan.

2. Jangan panik atau menghentam syarikat penerbangan

Kalau bagasi anda rosak, jangan panik dan elakkan daripada memarahi syarikat penerbangan di media sosial.

Ini tidak akan membantu dan mungkin hanya menambah stres semata-mata. Sebaliknya, ikuti langkah-langkah yang betul untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Situasi di kaunter daftar masuk sebelum penerbangan. -Gambar hiasan

3. Buat aduan di Pejabat Perkhidmatan Bagasi

Jangan meninggalkan kawasan kastam sebelum menyelesaikan masalah. Segera pergi ke Pejabat Perkhidmatan Bagasi di lapangan terbang.

Bersedia untuk beratur dan pastikan anda mempunyai boarding pass untuk ditunjukkan kepada pegawai yang bertugas.

Pegawai akan memeriksa nilai bagasi anda dan menawarkan pilihan untuk menggantikan bagasi yang rosak atau menerima wang tunai.

Proses ini mungkin memakan masa sekitar seminggu hingga dua minggu.

4. Bagaimana jika bagasi anda mahal?

Jika bagasi anda berharga ribuan ringgit, biasanya syarikat penerbangan akan menggantikan bagasi tersebut, tetapi ini bergantung kepada polisi syarikat dan jenis insurans yang anda miliki.

Namun, banyak jenama bagasi premium menawarkan jaminan yang membolehkan anda menuntut ganti rugi jika bagasi tersebut rosak.

5. Pilih bagasi murah tapi berkualiti

Tak salah mencari bagasi murah tapi pastikan anda pertimbangkan jenama yang lebih berkualiti.

Walaupun murah, bagasi tersebut mestilah tahan lasak dan dibuat daripada bahan ABS iaitu bahan yang biasa digunakan dalam pembuatan bagasi bermuka keras.

Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda dapat menangani situasi bagasi rosak dengan lebih berkesan dan mendapatkan ganti rugi yang sepatutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain