suria

Beli rumah baharu tak guna banyak wang! Ini 5 mitos dalam urusan pembelian hartanah, ‘first timer’ perlu ambil tahu

Ramai yang terpengaruh dengan konsep belian lot lidi. -Gambar hiasan

MEMILIKI hartanah sendiri sama ada kediaman baharu, subsale mahupun tanah persendirian sememangnya akan membuatkan sesiapa sahaja akan berasa teruja.

Mereka yang pertama kali terlibat dalam urusan pembelian pasti akan membuat carian maklumat tentang proses berkaitan selepas mengenal pasti lokasi idaman.

Semua pandangan dan pengalaman yang dikongsikan di media sosial akan dijadikan panduan untuk kelancaran proses.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang perunding hartanah dikenali Rubi Hasman berkongsi lima mitos yang sering menjadi kepercayaan masyarakat dalam urusan pembelian hartanah.

1. Beli rumah baharu tak perlukan duit

Kebanyakan pengguna beranggapan segala kos ditanggung oleh bank, namun sebenarnya andalah yang menanggung kerana perlu membuat bayaran bulanan pinjaman.

Selain itu, setiap 'pembelian' pasti akan melibatkan duit, paling tidak pun untuk menambah aksesori dalaman kediaman seperti lampu, kipas, gril, masukkan meter dan lain lain.

Rumah subsale dan lelong antara pilihan masyarakat masa kini. -Gambar hiasan

Rumah subsale dan lelong antara pilihan masyarakat masa kini. -Gambar hiasan

2. Beli secara terus daripada pemilik lebih murah

Tak semestinya! Berdasarkan pengalaman Rubi Hasman, terdapat pelbagai senario dan risiko apabila membeli secara terus daripada pemilik.

"Kononnya pemilik jual bawah harga pasaran, apabila pembeli dah setuju... barulah tahu pinjaman kewangan tidak boleh dilakukan 100 peratus dan pembeli perlu bayar wang beza," jelasnya.

3. Beli rumah lelong paling untung

Jika harga rumah masih rendah daripada harga pasaran, mungkin menguntungkan.

Namun sekiranya harga bidaan sudah tinggi dan hampir mencecah harga pasaran, ia mungkin tidak menguntungkan kerana kos baik pulih, guaman dan sebagainya perlu diambil kira.

Silap haribulan, harganya sama seperti rumah subsale juga.

Pembeli lot lidi hanya dilindungi dengan SnP sahaja.

Pembeli lot lidi hanya dilindungi dengan SnP sahaja.

4. Untung kalau ambil cashback

Percayalah, rumah yang ada cashback adalah rumah yang susah nak jual semula sebab harga pasaran belum naik.

Harga ketika pembelian dibuat sebenarnya adalah harga 'masa depan', melainkan memang pembeli rancang nak duduk lama di lokasi tersebut.

5. Beli tanah lot lidi lebih murah, boleh bina rumah juga

Memang betul tanah lot lidi lebih murah berbanding yang lain.

Namun hakikatnya, nama anda tiada dalam geran dan hanya mengharapkan dokumen perjanjian semata-mata.

Sales And Purchase Agreement atau Perjanjian Jual Beli rumah bukanlah 'dokumen kuat' sebagai pemilik sesuatu tanah kerana 'kad pengenalan' sesuatu tanah adalah geran asalnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain