BAGI mengiktiraf penjaja tempatan di Malaysia, Good Foodie Media Sdn Bhd, dengan kerjasama Maybank dan Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan Foodie Hawker Awards 2024 yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember ini. Penyertaan terbuka kepada semua peniaga makanan dan minuman yang beroperasi sebagai ‘penjaja’ termasuklah peniaga gerai tepi jalan, makanan pasar, kedai kopi tradisional mahupun trak makanan. Pemenang anugerah akan ditentukan melalui undian awam, yang mana setiap pengundi hanya boleh mengundi satu penjaja sahaja bagi setiap negeri yang terlibat. Mereka yang berjaya akan diraikan dalam satu majlis anugerah pada Januari 2025. Untuk menyertai, penjaja mestilah pengguna Maybank QRPayBiz sedia ada atau daftar akaun Maybank QRPayBiz, dengan minimum 200 transaksi MAE QRPay sepanjang tempoh kempen berlangsung. Peniaga yang mengambil bahagian akan disenaraikan di laman web Foodie Asia untuk diundi rakyat Malaysia. Penjaja makanan mahupun minuman dijemput menyertai kempen Foodie Hawker Awards 2024. Semua peserta juga akan menerima pelekat 'Featured on Foodie Hawker Awards 2024' untuk dipamerkan di gerai mereka selain berpeluang mendapat publisiti percuma di media sosial Foodie Asia dan Maybank, serta dalam sebarang kempen promosi ad-hoc yang dijalankan oleh MAE, Maybank2u. Bukan itu sahaja, bermula 15 September hingga 31 Disember ini, pelanggan yang berbelanja minimum RM8 menerusi Scan & Pay aplikasi MAE di gerai tersenarai akan mendapat diskaun RM2 dengan menggunakan kod promo 'MAEFHA2'. Menurut Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, 'Gastro Diplomacy' atau Diplomasi Makanan merupakan salah satu tarikan utama untuk kemasukan pelancong antarabangsa. Tambahan pula, Malaysia menerima 20 juta pelancong pada tahun lalu dan merupakan destinasi utama di kalangan pelancong ASEAN dengan makanan adalah salah satu sebab utama kunjungan mereka. UNESCO juga telah mengiktiraf Kuching, Sarawak sebagai salah satu Bandar Gastronomi Kreatif, yang menonjolkan kekayaan dan kepelbagaian budaya makanan di Malaysia. Malaysia juga mempunyai 50 restoran yang diiktiraf oleh Michelin di seluruh negara. Cara penyertaan kempen yang berlansgung sehingga Disember 2024 ini. Menurut Pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif Good Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang, Foodie Hawker Awards akan menjadi komitmen jangka panjang untuk memperkasa industri makanan tempatan yang meriah di Malaysia. "Kami telah membantu PKS (perusahaan kecil dan sederhana), penjaja untuk mempromosikan perniagaan mereka dalam talian, dan anugerah pengiktirafan adalah sesuatu yang saya ingin lakukan untuk industri F&B (makanan dan minuman) di Malaysia," katanya. Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, pihaknya sentiasa aktif membantu penjaja tempatan dan perniagaan kecil berkembang melalui pelbagai inisiatif, seperti platform dalam talian tanpa komisen, Sama-Sama Lokal. "Melalui pemerkasaan penjaja kami dengan QRPay di aplikasi MAE, kami mencipta ekosistem pembayaran tanpa tunai yang lancar yang akan membantu mengembangkan pangkalan pelanggan mereka. "Sehingga hari ini, kira-kira 750,000 peniaga Malaysia menawarkan pembayaran tanpa tunai dengan QRPayBiz Maybank, di mana hampir separuh adalah PKS mikro. "Kolaborasi ini juga akan diadaptasi dengan ciri rentas sempadan untuk pelancong dari Thailand, Singapura, China dan Indonesia," tambahnya. Foodie Hawker Awards 2024 mengiktiraf hidangan terbaik penjaja Malaysia. Turut senada, Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor berharap kerjasama yang dilakukan dapat memacu transformasi digital dan keterangkuman kewangan dalam kalangan PKS mikro. "Dengan integrasi DuitNow QR, kami berhasrat untuk memperkasa penjaja tempatan, meningkatkan operasi perniagaan dan memperluas pangkalan pelanggan mereka," katanya. Untuk rekod, Foodie Hawker Awards 2024 adalah inisiatif untuk mengiktiraf penjaja tempatan yang pertama di Malaysia. Ia bertujuan untuk meraikan budaya makanan jalanan Malaysia yang pelbagai sambil menyokong penjaja tempatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube