RAMAI beranggapan kenderaan baharu tidak akan mengalami masalah. Maklumlah, kereta 'koyak plastik' pastinya berada dalam keadaan baik kerana baru keluar dari kilang. Namun sebenarnya, kenderaan baharu juga berpotensi mengalami masalah sekiranya tidak dijaga dan diselenggara dengan baik. Malah, situasi poket anda akan menjadi lebih parah apabila jentera yang digunakan sudah mula buat 'perangai'. Oleh itu, ikuti panduan penjagaan daripada Zalyazahari yang dikongsikannya di laman X. 1. Selenggara secara berkala Pastikan anda melakukan penyelenggaraan kendereraan mengikut jadual yang ditetapkan. Ada yang wajib tiga bulan atau enam bulan sekali kerana bergantung kepada jenis minyak enjin yang digunakan. Kalau semi sintetik kebiasaannya mengambil masa tiga bulan atau pada jarak 5,000 kilometer manakala tempoh enam bulan bagi sintetik penuh atau jarak 10,000 kilometer. Bagi anda yang sering terlupa, rajin-rajinlah tengok pelekat penyelenggaraan yang ditampal mekanik ataupun rujuk buku servis. Pastikan penyelenggaraan dilakukan secara berjadual. -Gambar hiasan 2. Kekalkan cat kenderaan Faktor cuaca dan kawasan parkir memainkan peranan penting pada body kereta anda. Kalau asyik terdedah di bawah cahaya matahari, memanglah cepat luntur warna catnya. Walau bagaimanapun, anda boleh memastikan ia kekal cantik sehingga 10 tahun dengan menggunakan water coating apabila mendapatkan khidmat cucian kereta. Bagi yang gemar mencucinya sendiri, pastikan anda memiliki water coating di rumah. 3. Sentiasa pastikan aksesori dan komponen kenderaan ditukar ganti Wiper adalah aksesori kenderaan yang jarang-jarang digunakan. Bagi sesetengah individu, mereka gemar mengangkat wiper apabila meletakkan kenderaan di lokasi terbuka kerana bimbang getah pengelapnya cepat rosak. Namun begitu, meskipun anda menjaganya dengan baik, getah pengelap mempunyai jangka hayatnya dan perlu ditukar ganti walaupun jarang digunakan. Jangan sampai dah berbunyi dan tak berfungsi dengan baik baru nak tukar ya! Masalah gearbox antara yang sering dialami pengguna kenderaan. 4. Cara penggunaan gear Masih ramai lagi yang tidak mengetahui cara penggunaan gear auto yang sebenarnya. Maka tidak hairanlah bengkel sentiasa dipenuhi dengan kenderaan yang mengalami masalah gear box. Bagi yang belum mengetahuinya, cara sebenar untuk parkir adalah dengan menurunkan gear D ke N terlebih dahulu dan seterusnya P. 5. Sentiasa periksa minyak enjin Mungkin anda beranggapan bahawa minyak enjin adalah 'tanggungjawab' mekanik kerana sudah melakukan penyelenggaraan berjadual. Buang tanggapan itu jauh-jauh kerana anda seharusnya memeriksa minyak enjin. Bayangkan jika terdapat kebocoran pada enjin dalam tempoh waktu sebelum diselenggara, tidak mustahil kereta anda terbakar kerana kehabisan minyak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube