suria

Sila bertenang, tak perlu mengamuk jika kereta ditarik... Ini cara atasi masalah gagal bayar pinjaman bank

Kegagalan membuat bayaran pinjaman kewangan membuatkan kenderaan ditarik pihak bank. -Gambar hiasan

KRISIS kewangan boleh berlaku kepada sesiapa dan bila-bila masa sahaja.

Mereka yang mengalaminya cenderung berhadapan bebanan hutang yang tinggi sama ada menerusi institusi kewangan, pinjaman koperasi mahupun antara rakan taulan dan keluarga.

Malah ada yang kehilangan harta benda akibat dilelong pihak pemiutang mahupun kenderaan ditarik balik.

Jika anda berhadapan situasi kereta ditarik kerana kegagalan membayar ansuran, berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan seperti perkongsian Pakar Kewangan dan Motivator, Dr Azizul Azli Ahmad.

1. Hubungi pihak bank

Langkah pertama ialah menghubungi pihak bank yang menarik kereta anda.

Dapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah tunggakan, sebab penarikan, dan proses untuk mendapatkan semula kereta.

2. Semak baki tertunggak

Dapatkan penyata terkini untuk mengetahui jumlah tunggakan ansuran, faedah, dan yuran tambahan yang mungkin dikenakan seperti kos penarikan dan simpanan kereta.

3. Berbincang dengan pihak bank

Cuba berunding dengan pihak bank terlebih dahulu untuk mendapatkan pelan pembayaran yang lebih sesuai.

Dalam sesetengah kes, bank mungkin bersedia menawarkan pelan pembayaran tertunggak secara ansuran atau melanjutkan tempoh pembayaran.

Jika keadaan kewangan tidak memungkinkan anda untuk membayar semua tunggakan sekali gus, tanya pihak bank tentang kemungkinan menstruktur semula pinjaman, seperti melanjutkan tempoh pinjaman atau mengurangkan bayaran bulanan.

Tangkap layar video sebuah kereta dirosakkan kerana pemilik gagal melunaskan ansuran bulanan.

Tangkap layar video sebuah kereta dirosakkan kerana pemilik gagal melunaskan ansuran bulanan.

4. Buat bayaran tertunggak

Jika anda mahu mendapatkan semula kereta, anda perlu melangsaikan ansuran tertunggak, termasuk kos penarikan dan simpanan.

Hanya selepas pembayaran ini dibuat, barulah anda boleh menuntut kereta.

5. Jual balik kereta

Sekiranya anda tidak mampu menanggung ansuran, mungkin lebih baik untuk berbincang dengan pihak bank mengenai penjualan kereta bagi menutup baki hutang.

Dalam kes ini, bank mungkin membantu menjual kereta, dan hasil jualan akan digunakan untuk membayar hutang.

7. Dapatkan nasihat kewangan

Jika tidak pasti bagaimana untuk menguruskan situasi ini, dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan atau kaunselor kredit yang boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak mengenai kewangan anda.

Jangan rosakkan kenderaan keraba hutang kenderaan masih atas nama anda. Merosakkan kenderaan hanya akan mengurangkan nilai semasanya.

Semakin rendah nilai, semakin besar hutang anda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain