SETIAP usahawan mempunyai cara tersendiri untuk meningkatkan hasil jualan bagi mendapatkan keuntungan. Bagi peniaga air balang, helah yang biasa dilakukan adalah berasaskan bahan mentah serta jenama produk yang digunakan. Salah satunya adalah mengenai penggunaan ais kiub. Mendedahkan perkara tersebut, TheSumKopi tampil menjawab persoalan warga maya tentang perbezaan ais kiub yang sering digunakan peniaga. Malah dia turut membuat demonstrasi menggunakan beberapa jenis ais yang terdapat di dalam pasaran. Menerusi video TikTok berdurasi 3 minit 10 saat itu, dia yang lebih dikenali sebagai 'Abang Kopi' menyediakan ais jenis hancur dan ais kiub 'baby' bersama 250 milliliter (ml) kopi. Ais kiub 'baby' memuatkan kuantiti air yang lebih banyak. Kedua-dua jenis ais tersebut dimasukkan ke dalam dua cawan plastik terlebih dahulu. Kemudian dia menambahkan 250ml bancuhan kopi ke dalam setiap cawan. Berdasarkan demonstrasi yang dilakukan, hanya cawan yang berisi ais kiub 'baby' dapat dipenuhkan dengan jumlah sukatan yang ditetapkan. Bagi cawan berisi ais hancur pula, terdapat lebihan kuantiti air kopi sebanyak 100ml. Ia sekali gus membuktikan air yang diisi di dalam bekas berisi ais hancur lebih sedikit berbanding ais kiub 'baby'. Maka tidak hairanlah apabila mereka yang menggunakan ais hancur dapat menjual lebih unit berbanding kebiasaannya. Jadi, anda sebagai pembeli buatlah pilihan bijak! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube