LAGU dengan irama 'catchy' dan lirik yang berulang sememangnya mudah diingati dan sering tular. Warga maya juga gemar menjadikannya sebagai lagu latar bagi hantaran yang dibuat di laman sosial. Bagaimanapun, tidak semua lagu sesuai dijadikan halwa telinga seperti APT. dendangan Rose dan Bruno Mars. Perkara tersebut dikongsikan Public Health Malaysia susulan liriknya membelakangi tingkah laku dan nilai-nilai budaya masyarakat Timur. Antara bait yang dinyanyikan duo tersebut adalah, 'Kissy face, kissy face, sent to your phone, but I’m tryna kiss your lips for real' dan 'turn this apateu into a club'. Antara lirik lagu dalam APT. yang dinyanyikan Rose. Mengulas lanjut mengenainya, penggunaan istilah ‘APT.’ atau ‘apartment’ sebagai simbolik untuk tempat pertemuan dalam konteks menggoda juga memperlihatkan normalisasi terhadap tingkah laku yang bertentangan dengan adat ketimuran. Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana lagu ini sering digunakan sebagai muzik latar dalam video-video media sosial, menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian tanpa disedari. Anak-anak mungkin menghafal lirik tersebut tanpa menyedari mesej yang disampaikan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, pendidik, dan masyarakat, kita harus lebih berhati-hati dan peka terhadap pengaruh budaya barat yang semakin diterima tanpa tapisan. Tambahan pula, ia bukan sekadar menormalisasikan budaya Barat malah turut mengajak kepada kepada gaya hidup yang tidak sihat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube