suria

Jangan abai kereta ‘makan’ minyak! Ini cara periksa masalah coil plug, elak masalah 'jangkit' ke komponen lain

Enjin merupakan komponen penting dalam kenderaan dan perlu diselenggara secara berkala.

MEREKA yang biasa memandu ke destinasi tertentu seperti pejabat pasti akan berasa hairan apabila penggunaan minyak melebihi kebiasaan.

Mahu dapatkan pandangan daripada pakar mekanik pula tidak berkesempatan disebabkan jadual harian yang padat.

Bagi anda yang mengalami masalah tersebut, cuba periksa tanda-tanda yang dikongsikan RS Borneo Trading di laman Facebook.

Mungkin masalah yang dialami berpunca daripada gelung pencucuh atau coil plug yang tidak berfungsi.

Ini kerana sekiranya ia mengalami kerosakan, lima perkara ini pasti berlaku pada pemanduan.

1. Enjin 'mati'

Enjin 'mati' boleh terjadi pada bila-bila masa, sama ada semasa kereta sedang dipandu atau ketika kereta tidak bergerak mahupun semasa sedang membrek.

Keadaan ini berpunca daripada arus yang dihasilkan gelung pencucuh tidak tetap dan menyebabkan palam pencucuh tidak dapat mencucuh bahan api bersama udara di dalam enjin.

2. Bau asap ekzos di dalam kereta

Apabila gelung pencucuh rosak, ia akan menyebabkan enjin berada dalam keadaan terbeban.

Jika ini terjadi, ia mengeluarkan asap berlebihan yang boleh menyebar sehingga ke dalam kereta. Meskipun ada banyak lagi punca yang boleh menyebabkan keadaan ini, namun kerosakan gelung pencucuh ini mungkin boleh menjadi salah satu sebab penghasilan asap yang terlampau banyak.

Setiap pemandu perlu mengetahui serba sedikit tentang masalah kereta. -Gambar hiasan

Setiap pemandu perlu mengetahui serba sedikit tentang masalah kereta. -Gambar hiasan

3. Enjin menjadi semput

Situasi ini boleh dikesan apabila anda mendengar bunyi ngauman enjin semasa pedal minyak ditekan.

Pun begitu, kenderaan yang dinaiki tidak bergerak ke depan.

Ia menunjukkan bahawa kereta anda kehilangan kuasa dan menjadi semput disebabkan gelung pencucuh yang rosak tidak dapat menghidupkan palam pencucuh dengan betul.

Oleh itu, enjin tidak dapat membakar campuran petrol dan udara dengan betul.

4. Gegaran kuat pada enjin

Jika anda merasakan gegaran kuat semasa enjin dihidupkan atau ketika pemanduan, ia menandakan gelung pencucuh yang dah rosak.

Situasi ini sama seperti keadaan enjin kereta yang semput.

5. Lampu enjin menyala

Ramai yang berasa takut apabila melihat lampu enjin menyala.

Sebelum bergegas ke bengkel kereta, apa kata anda siasat dulu gelung pencucuh sekali gus dapat menjaga poket anda daripada 'kering'.

Jika masih berterusan, barulah anda mendapatkan khidmat yang mekanik yang pakar kerana kerosakan pada gelung pencucuh mungkin akan menyebabkan kerosakan pada bahagian lain pula.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain