suria

Semakin tua, makin menjadi! Guna baja DIY ini untuk tanaman ‘berumur’ terus berbuah lebat

Ini rahsianya untuk mendapatkan hasil tanaman yang memuaskan.

POKOK sayur yang mencecah usia 'senja' kebiasaannya akan berkurang hasil yang boleh dituai.

Namun, melalui satu perkongsian di laman Facebook, seorang pemuda dikenali sebagai Ridzuan Khalid mendedahkan rahsia yang digunakannya untuk memastikan pokok tua kekal produktif.

Menurut Ridzuan, dia hanya menggunakan baja yang dihasilkan daripada kulit buah.

Ayuh kita lihat bagaimana caranya!

Bahan-bahan:

1) Kulit buah (pisang, tembikai, mangga, limau dan sebagainya)

2) Gula merah

Kulit pisang boleh menjadi alternatif baja yang sangat baik. -Gambar hiasan

Langkah-langkah:

1) Masukkan kulit buah ke dalam bekas dan campurkan dengan sedikit air, tak perlu banyak kerana nanti akan ada cecair yang keluar dari kulit buah. Kulit pisang adalah yang paling disarankan jika ada.

2) Masukkan gula merah ke dalam bekas. Peram selama dua minggu. Pastikan buat lubang pada penutup bekas kerana ada gas yang akan terhasil akibat pereputan kulit buah. Kalau terlampau kedap, bekas boleh meletup.

3) Selepas diperam selama dua minggu, kini baja anda sudah sedia untuk digunakan. Sebelum diletakkan pada pokok, jangan lupa tapis dahulu.

Sukatan penggunaan:

1) Bagi sukatan penggunaan, ambil penutup botol air mineral, letak baja lebih kurang tiga per empat penutup sahaja. Kemudian bancuh dengan air sebanyak 1.5 liter, boleh siram dua hingga tiga minggu sekali pada tanaman.

2) Hasilnya InsyaAllah boleh dilihat sekitar dua minggu kemudian. Peringatan penting, jangan sesekali campak hampas baja ke atas pokok kerana ia boleh melayukan tanaman.

Melewati ke ruangan komen, warga maya juga memberikan reviu yang memberangsangkan mengenai petua dikongsikan Ridzuan.

"Terbaik, memang 'meriah' semua terung saya tanam. Boleh kerap dapat hasil," kata warga maya.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat. - Ridzuan Khalid

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain