suria

Laptop tertumpah air masih ada harapan diselamatkan, ini perkara yang anda patut dan dilarang buat

Komputer riba boleh dikira sebagai alat penting untuk menjalani kehidupan harian.

MALANG tidak berbau!

Peribahasa di atas membawa maksud kecelakaan boleh berlaku di mana sahaja, pada masa yang tidak disangka-sangka.

Misalnya insiden minuman atau sebarang bentuk cecair tertumpah di atas komputer riba ketika sedang bekerja, pasti runsing kepala ini.

Melalui satu perkongsian oleh kedai komputer dikenali sebagai OK Computer Solution, ada didedahkan beberapa pantang larang dan tindakan segera yang perlu diambil sekiranya anda berada dalam situasi sebegini.

Kecuaian diri boleh mengakibatkan kerosakan komputer riba. -Gambar hiasan

Langkah-langkah:

1) Tutup soket elektrik sekiranya komputer riba sedang dicas.

2) Cabut peranti lain yang disambungkan pada komputer riba seperti tetikus, pembesar suara dan lain-lain.

3) Gunakan kain lembut atau pembersih hampagas versi mini untuk menyedut keluar cecair dari bahagian kabel kuasa jack, pengecas mudah alih (USB) dan soket-soket lain pada komputer riba.

4) Terbalikkan komputer riba supaya papan kekunci menghala ke bawah, memudahkan air untuk mengalir keluar.

5) Boleh juga letakkan kain tebal atau tuala di atas papan kekunci supaya cecair di dalam komputer dapat diserap dengan efektif.

6) Gunakan putik kapas (cotton bud) untuk mengeringkan air di bahagian komputer riba yang sensitif seperti papan induk (motherboard).

7) Boleh kipas komputer riba menggunakan surat khabar atau majalah untuk mempercepatkan proses pengeringan.

8) Jangan sesekali guna pengering rambut kerana sumber haba akan membinasakan komputer riba dengan lebih teruk serta menyebabkan wap air merebak ke seluruh sistem komputer riba.

9) Setelah komputer riba dipastikan kering sepenuhnya, boleh tekan semula butang 'on' seperti biasa.

Jika tiada sebarang kerosakan utama, komputer riba akan dapat berjalan dengan lancar, namun sekiranya komputer riba masih gagal dibuka, boleh bertemu dengan juruteknik bertauliah untuk pemerksaan lanjut. - OK Computer Solution

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain