suria

Mekanik bongkar tabiat buruk pemandu, punca kereta cepat rosak... Brek mengejut paling ramai buat!

Kereta perlu dijaga dengan rapi sekiranya hendak bertahan lama. -Gambar hiasan

KERETA selaku aset berharga pastinya dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Namun akibat tabiat buruk yang sudah menjadi kebiasaan, ia tanpa sedar boleh menyebabkan kerosakan pada komponen penting di dalam enjin kereta.

Melalui satu perkongsian di TikTok, sebuah bengkel kereta iaitu Altimat Saujana Putra tampil mengupas dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

1) Sengaja berlengah isi minyak kereta

Apabila lampu pada papan pemuka mula berkelip, ia menandakan petrol di dalam tangki sudah hampir habis, segera bergegas ke stesen minyak, jangan bertangguh lagi.

Sekiranya tangki minyak dibiarkan kosong terlalu lama, ia boleh menyebabkan habuk dan kotoran disedut masuk ke dalam pam sehingga akhirnya injap menjadi tersumbat.

Sekali sudah rosak, pasti banyak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan, rugi!

Jangan hanya tahu memandu tetapi soal penyelenggaraan ke laut. -Gambar hiasan

2) Gemar tekan brek secara mengejut

Tahukah anda, tabiat membrek secara mengejut ketika memandu akan menyebabkan sistem brek menjadi cepat panas, pad brek mudah haus dan cakera brek senang menipis.

Sekiranya amalan ini diteruskan, semakin kerap anda perlu melakukan penyelenggaraan ke atas kereta, bermaksud duit pun mengalir macam air.

Biasakan diri untuk brek secara lembut dan perlahan-lahan.

3) Abaikan bunyi pelik

Apabila tubuh mula mengalami simptom seperti demam, selesema atau batuk, ia bermaksud badan sedang sakit.

Sama juga seperti kereta, apabila kedengaran bunyi aneh yang tidak dapat dipastikan puncanya, jangan hanya buat tidak endah kerana kemungkinan besar kereta sedang mengalami masalah.

Segera bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut dan diberikan 'rawatan' sewajarnya.

4) Kerap angkut muatan berlebihan

Ukur baju di badan sendiri.

Sedarlah diri sekiranya anda membawa kereta kecil seperti Axia, jangan pula degil untuk membawa muatan yang banyak seperti kenderaan pacuan empat roda.

Apabila kereta terpaksa menanggung berat yang melampau, ia boleh memendekkan jangka hayat suspension kereta, penggunaan bahan api menjadi kurang efisien serta brek terpaksa bekerja keras.

Semoga bermanfaat! - Altimet Saujana Utama

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube