suria

Ada 6 jenis, mana satu tanah di laman rumah anda? Lepas dah kenal pasti, baru boleh mula berkebun

Jenis tanah memainkan peranan penting untuk tumbesaran pokok.

HALAMAN rumah yang kosong boleh dimanfaatkan untuk pelbagai perkara, antaranya berkebun.

Namun dalam keterujaan untuk menanam pokok buah-buahan atau sayur-sayuran, seseorang itu perlu memberikan perhatian kepada beberapa aspek, misalnya jenis tanah yang tersedia.

Melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Pejabat Pertanian Daerah Muar, ada dikongsikan petua untuk mengenal pasti jenis tanah di rumah anda dan sekiranya ia sesuai untuk bercucuk tanam.

Tanah liat

1) Tanah liat

Rupa tanah liat boleh diperhatikan pada warnanya iaitu kuning kemerahan dan teksturnya yang senang melekat apabila dipegang dalam keadaan basah.

Tanah jenis ini mempunyai partikel yang sangat kecil, halus dan rapat antara satu sama lain, ia mudah melekat ketika lembap serta menjadi keras apabila kering.

Tanah liat merupakan tanah yang paling padat antara kesemua jenis tanah, bermaksud ia mempunyai saluran pengudaraan yang kurang baik dan sukar meresap air.

Justeru, sekiranya halaman rumah anda mempunyai tanah liat, ia kurang sesuai untuk projek penanaman pokok, berikutan tanah ini menyukarkan pergerakan akar tumbuhan serta susah untuk digembur.

Tanah pasir

2) Tanah pasir

Ciri-ciri tanah pasir boleh dilihat pada sifatnya yang kering dan senang berderai.

Tanah pasir mempunyai partikel yang sangat besar dan longgar, bermaksud tanah ini kurang efisien untuk menyimpan air dan akan cepat kering apabila disiram.

Oleh itu, akar pokok sukar untuk mendapatkan air dan nutrien yang secukupnya sekiranya ditanam di dalam tanah pasir.

Satu lagi faktor yang menyebabkan pokok sukar untuk bercambah di dalam tanah pasir adalah keadaannya yang mudah panas apabila disinari matahari.

Tanah gambut

3) Tanah gambut

Sifat tanah gambut boleh diperhatikan pada warnanya yang hitam atau perang, sekiranya dikepal dengan tangan ia boleh dirasakan seperti span.

Jenis tanah ini boleh dikategorikan sebagai tanah berorganik kerana mengandungi banyak nutrien di dalamnya, hasil daripada pereputan bahan mineral kira-kira 9,000 tahun dahulu.

Apabila hujan, tanah gambut akan menyimpan banyak air di dalamnya, manakala ketika musim kemarau, tanah gambut akan menjadi kering sehingga merekah.

Tanah gambut sesuai untuk dijadikan baja sampingan kepada pokok, namun tidak sesuai untuk menanam pokok secara sepenuhnya.

Tanah endapan

4) Tanah endapan (silt)

Tanah jenis ini terasa lembut, halus dan sejuk apabila disentuh, ia mempunyai partikel yang lebih kecil berbanding tanah pasir.

Tanah endapan yang lembap akan terasa licin apabila disentuh dan mudah jatuh daripada genggaman tangan ketika dipegang.

Ia boleh menyerap air tetapi mudah untuk hilang nutrien, selain mempunyai pengudaraan yang bermasalah berikutan tanahnya yang mampat dan padat.

Tanah keranji

5) Tanah keranji (saline)

Tanah keranji atau tanah seline adalah kering dan bergaram, tumbuhan akan menjadi bermasalah sekiranya ditanam di dalam tanah jenis ini.

Tanah loam

6) Tanah loam

Tanah jenis ini adalah yang paling sesuai untuk pertanian, sangat disukai oleh para pekebun.

Rupa tanah loam boleh diperhatikan pada warnanya yang hitam serta mudah digembur, ia terasa lembut dan rapuh apabila dipegang dengan tangan.

Daya serapan air dan pengudaraan untuk tanah ini juga adalah sangat baik, sesuai untuk pertumbuhan pokok yang sihat.

Tanah loam terdiri daripada 40 peratus pasir, 40 peratus endapan dan 20 peratus tanah liat, selain memiliki nilai pH dan kandungan kalsium yang tinggi.

Bagaimanapun, jangan kecewa sekiranya rumah anda tidak mempunyai tanah loam kerana tanah lain juga boleh diubah suai dan dibaiki supaya sesuai dengan tanaman. - Pejabat Pertanian Daerah Muar

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain