suria

5 baka kucing ‘kayangan’ paling mahal di dunia, boleh beli sebuah rumah di Malaysia

Kucing popular sebagai pilihan haiwan peliharaan. -Gambar hiasan

KUCING merupakan haiwan kesayangan ramai di seluruh dunia, malah ada pemilik menjaganya bagai menatang minyak yang penuh.

Namun sedikit mengejutkan apabila ada sesetengah individu sanggup memiliki kucing peliharaan dengan harga mahal yang sukar diterima akal.

Melalui satu hantaran di laman Instagram oleh Sweet Animal, ada dikongsikan beberapa jenis baka kucing eksotik yang mencecah nilai ratusan ribu ringgit.

Jom kita lihat fakta menarik ini!

1) Peterbald

Baka kucing ini berasal dari Rusia, penampilannya tanpa bulu serta telinga mencapah seperti kelawar menjadikannya unik dan elegan.

Kucing Peterbald merupakan hasil eksperimen campuran baka Don Sphynx dan Oriental Shorthair, ia kali pertama dilakukan pada tahun 1994 di St. Petersburg, Rusia.

Seekor kucing ini dianggarkan bernilai AS$5,000 (RM22,344).

2) Sphinx

Kucing jenis ini menjadi tumpuan kerana badannya yang tiada bulu serta kelihatan licin berwarna merah jambu. Pada wajahnya juga ada kedutan yang sangat comel pada pandangan sesetengah orang.

Baka kucing ini kali pertama dijumpai di Toronto, Kanada pada tahun 1966. Keadaan fizikalnya difahamkan berpunca daripada mutasi genetik yang berlaku secara semula jadi.

Perwatakan kucing Sphinx sinonim dengan perasaan ingin tahu serta suka bermanja-manja bersama tuannya, jadi tidak hairanlah sekiranya ia mencecah nilai AS$10,000 (RM44,681).

3) Bengal

Sekali imbas seperti harimau bintang, kucing jenis Bengal dikenali dengan sikapnya yang aktif meneroka kawasan sekitar serta kebijaksanaan untuk mencuba pelbagai aksi di luar jangkaan.

Baka kucing Bengal berasal dari Amerika Syarikat yang merupakan gabungan baka kucing tempatan dan kucing batu (Prionailurus bengalensis) berasal dari Asia Tenggara, dilakukan oleh pakar genetik, Jean Mill pada 1963.

Ramai yang berlumba-lumba untuk mendapatkan kucing Bengal kerana dianggap moden pada masa kini, harganya boleh mencecah sehingga AS$15,000 (RM67,000).

4) Savannah

Ibarat memiliki haiwan pemangsa di dalam rumah, baka kucing Savannah sukar untuk dijumpai di kediaman marhaen, lebih popular bagi kelas kayangan.

Baka kucing Savannah adalah sejenis hibrid menggabungkan baka kucing biasa dan juga kucing liar (Serval) yang kebiasaannya ditemui di kawasan hutan belantara benua Afrika.

Bintik-bintik pada bulunya pasti menarik perhatian sesiapa yang memandang, namun jangan terkejut melihat harganya yang boleh mencecah AS$25,000 (RM111,654).

5) Oceara

Akhir sekali, si bulus termahal di seluruh dunia dengan anggaran nilai AS$125,000 (RM558,403) iaitu baka kucing Oceara, yang membolehkan anda membeli sebuah rumah di Malaysia.

Keistimewaan kucing ini adalah bakanya dihasilkan di dalam makmal, iaitu gabungan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kucing biasa, kucing liar Afrika (Serval) dan kucing batu Asia.

Dengan gabungan tiga jenis baka dalam seekor kucing, sungguh luar biasa, maka tidak pelik melihat harganya yang mencanak. - Sweet Animal

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan