SEMBURAN aerosol atau ubat lingkaran kebiasaannya digunakan untuk menghalau nyamuk yang menceroboh kediaman. Walaupun kaedah ini berkesan untuk menghapuskan serangga penghisap darah tersebut, namun ia kerap meninggalkan bau kurang enak serta menyebabkan lantai menjadi berminyak. Melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Wan Erni Suria, ada dikongsikan cara alternatif untuk menghalau nyamuk dengan menggunakan bahan semula jadi. "Hairan betul, rumah dekat tingkat atas pun nyamuk boleh naik. Jadi kami cuba teknik ni, Alhamdulillah berkesan, selepas tiga minggu berkurang sebanyak 90 peratus nyamuk dalam bilik. "Tak perlu guna bahan kimia pun, paling penting murah dan kediaman jadi wangi," ujarnya. Petua yang mudah untuk dilakukan sendiri di rumah. Bahan-bahan: 1) Serai 2) Daun pandan Langkah-langkah: 1) Letakkan serai dan daun pandan di atas api sekejap, pastikan jangan sampai terbakar hangus, cukup layurkan sahaja. 2) Kemudian hiris halus kedua-dua daun itu dan masukkan ke dalam bekas. 3) Akhir sekali, letak bekas di sudut bilik. Dalam pada itu, Wan Erni Suria turut sempat menitipkan pesanan. "Teknik ini boleh bantu halau nyamuk, tetapi kebersihan rumah tetap kita kena jaga, terutamanya tempat pembiakan nyamuk harus dibasmi," katanya. Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! - Wan Erni Suria Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube