suria

Jalan sesak sambut tahun baharu 2025? Guna pengangkutan awam je, RapidKL lanjut operasi hingga 3 pagi

Perkhidmatan tren dan bas dilanjutkan sehingga pukul 3 pagi hingga 3.30 pagi.

MESTI ramai yang sudah merancang untuk menyambut tahun baharu 2025 di lokasi pilihan masing-masing.

Hendak memandu sendiri, sudah pasti trafik sesak sehingga menyakitkan hati.

Jadi, pilihan terbaik adalah menggunakan pengangkutan awam.

Berita baik untuk anda semua, bersempena ambang tahun baharu 2025, operasi perkhidmatan rel RapidKL akan dilanjutkan sehingga pukul 3 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahu nak ke mana malam tahun baharu 2025? Ini 5 lokasi acara ‘countdown’ sambil tengok pertunjukan bunga api

Bukan itu sahaja, laluan bas terpilih juga melanjutkan operasinya sehingga pukul 3.30 pagi pada 1 Januari ini.

Pelanjutan operasi tersebut akan membabitkan 18 stesen rel, empat stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 20 laluan bas utama serta perantara Rapid KL, selain jadual kekerapan tren dipertingkatkan di semua laluan rel bermula jam 7.30 malam ini (31 Disember).

Lanjutan masa operasi ini akan membantu pengguna merancang waktu untuk pulang ke rumah selepas selesai menyambut acara tahun baharu selain mengurangkan kesesakan di stesen yang berhampiran lokasi acara sambutan.

tahun baru

KLCC antara lokasi pilihan ramai untuk menyambut tahun baharu. -Gambar hiasan

Lanjutan operasi bagi stesen rel dan BRT yang terlibat adalah:

- Laluan Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling, Monorel Kuala Lumpur, Kajang, Putrajaya, BRT Sunway yang membabitkan stesen seperti KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, Ampang Park, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Mutiara Damansara dan Sunway Lagoon.

Laluan bas terpilih dan Demand Responsive Transit (DRT) kendalian Rapid KL yang dilanjutkan operasi ialah:

- Taman Sri Hartamas -Lin Ho Jalan Lekiu, Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang, Stesen Wangsa Maju-Lebuh Ampang, Hentian Kajang-Hab Lebuh Pudu, Puchong Utama-Hab Pasar Seni, Taman Sri Muda-Hab Pasar Seni, Stesen Stadium Kajang-Bandar Teknologi, Stesen Kwasa Damansara-Subang Suria, Stesen Sungai Buloh-Bukit Rahman Putra, Stesen TRX-Taman Maluri/Desa Pandan, Stesen Cyberjaya Utara-Cyber 11, Stesen Alam Megah-Seksyen 27 Shah Alam, Stesen Putrajaya Sentral-Presint 16 dan Stesen Glenmarie-MSU Stadium Shah Alam.

Oleh itu, rancang perjalanan anda dengan betul agar semuanya lancar ketika ambang tahun baharu tersebut.

Oh ya, pastikan baki kad Touch 'n Go anda mencukupi atau beli saja pas #MyCity.

Untuk maklumat lanjut mengenai info perjalanan terkini, muat turun aplikasi PULSE https://www.myrapid.com.my/downloadpulse

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain