JUBIN yang dipasang di kediaman kita sebenarnya mudah untuk dibersihkan dan diselenggara. Namun ini tidak bermakna kita boleh menggunakan sebarang produk untuk membersihkannya. Pemilihan produk yang salah boleh menyebabkan kerosakan serius pada jubin, sekali gus menyukarkan proses untuk memulihkannya. Pantang larang 1. Bahan kimia seperti cecair peluntur dan asid, termasuk lemon dan cuka boleh merosakkan jubin jika digunakan secara kerap, malah ia juga tidak baik untuk kesihatan manusia jika terhidu secara berlebihan. 2. Pencuci berwarna juga tidak begitu digalakkan kerana ia mungkin diserap ke dalam jubin dan boleh mengubah warna asalnya. 3. Bahan kasar seperti berus keluli, serbuk penyental, atau pad penggosok juga boleh mencalarkan dan merosakkan jubin. Cara cucian yang salah boleh menyebabkan jubin rosak. -Gambar hiasan Kaedah dan produk pembersihan yang disyorkan Cara terbaik untuk memastikan jubin kekal lama adalah dengan penjagaan yang betul dan lembut. Walaupun ia tahan lasak dan praktikal, sebaiknya lindungi jubin dengan tikar anti-gelincir. Anda juga boleh menyapu dan membersihkan jubin dengan secara kerap untuk mengelakkan kotoran dan pasir yang boleh merosakkan permukaannya. Tikar atau alas kaki di pintu masuk bilik mandi/tandas juga sangat membantu untuk mengelakkan pasir daripada dibawa masuk ke atas jubin. Antara lain, anda boleh membersihkan permukaan jubin secara berkala dengan mop dan air suam sahaja, sebaiknya dilakukan setiap hari kerana ia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Setiap dua minggu, tambahkan sedikit detergen ringan ke dalam air suam, pastikan detergen digunakan dalam kepekatan rendah dan semua larutan pembersihan dibilas dengan air suam sebelum kering untuk mengelakkan kesan tompokan. Bagi bilik mandi dan kawasan pancuran, buang air berlebihan dengan pengikis (squeegee) selepas setiap penggunaan, ini akan membantu mengelakkan pembentukan sisa sabun. - Agensi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube