RAMAI netizen meluahkan rasa sayu selepas tersebarnya berita seorang budak perempuan di Pulau Pinang yang dipercayai maut akibat tersepit di celah besi meja lipat. Susulan itu, ramai pengguna media sosial khususnya mereka yang sudah memiliki anak turut berkongsi kisah, pendapat dan saranan masing-masing. Seorang pengguna Facebook, Ummu Uwais Azizah berkata, seorang rakan sekolahnya pernah meninggal dunia akibat terjerut tali pinggang. Malah, anak rakan sekerjanya juga terkorban kerana tertusuk besi penyidai pakaian sekitar dua tahun lalu. "Dua tahun lepas juga anak bongsu bekas rakan sekerja meninggal dek tertusuk besi penyidai pakaian. Apabila diselidik besi penyidai yang bagaimana dan bagaimana kejadian berlaku? "Tergamam juga saya sebab anak-anak saya kadang main besi begitu juga, contoh besi mop yang tercabut," ujarnya lagi. Berikut merupakan antara item dalam rumah yang dikategorikan berbahaya untuk kanak-kanak: 1. Papan seterika Papan seterika juga mempunyai ciri-ciri yang lebih kurang sama dengan meja lipat. Jadi, ibu bapa perlu berwaspada dan tidak membiarkan anak kecil bermain sendirian dengan papan seterika. 2. Perabot bucu tajam Meja atau almari yang memiliki bucu tajam sangat berbahaya, apatah lagi untuk kanak-kanak yang sedang belajar berjalan. Ibu bapa juga perlu berwaspada jika anak-anak berlari di dalam rumah. Jika terlanggar bucu perabot yang tajam, anak-anak mungkin akan mengalami bengkak atau pendarahan. Keselamatan anak-anak di rumah perlu menjadi keutamaan ibu bapa. -Gambar hiasan 3. Kipas Kipas jenis berdiri sebenarnya agak bahaya untuk diletakkan di dalam rumah yang mempunyai anak kecil. Tanpa disedari, mereka boleh memasukkan jari sehingga terkena bilah kipas. Walaupun kebanyakan bilas diperbuat daripada plastik, ia tetap berbahaya untuk si cilik anda. 4. Peralatan tajam Garfu dan pisau merupakan antara item bahaya yang boleh didapati dengan mudah di bahagian dapur. Jika anda mempunyai anak kecil, peralatan ini sepatutnya diletakkan di tempat yang tinggi. Elak letak di dalam laci yang rendah kerana ia boleh dibuka bila-bila masa oleh si cilik. 5. Jubin Jubin di dalam bilik mandi dan tandas biasanya sentiasa berada dalam keadaan yang basah. Keadaan ini pastinya boleh membahayakan kanak-kanak kerana mereka boleh tergelincir bila-bila masa sahaja. Jadi, ibu bapa boleh mengurangkan risiko ini dengan menggunakan tikar anti-gelincir yang diperbuat daripada material plastik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube