KEHADIRAN semut dan lipas khusunya di bahagian dapur kediaman sering dianggap sebagai satu gangguan yang menyeksakan jiwa.
Bagi kaum ibu khususnya, banyak cara yang mereka gunakan untuk menangani gangguan ini, namun semuanya bagaikan tidak berhasil.
Semua petua sudah dicuba, namun semut tetap menghurung bekas makanan sehingga adakalanya berlaku pembaziran kerana terpaksa dibuang.
Menurut akaun Facebook Petua Emak, anda sebenarnya boleh menghapuskan masalah ini selamanya dengan menggunakan empat bahan mudah sahaja.
Bahan-bahannya adalah tiga sudu besar gula, empat sudu besar tepung gandum, tiga sudu besar ubat gigi dan tiga sudu besar air.
Berikut merupakan cara-cara untuk menghalau semut menggunakan empat bahan ini:
1. Sediakan campuran
Ambil mangkuk, kemudian campurkan gula, tepung gandum, ubat gigi dan air.
Gaul sehingga menjadi adunan yang rata dan sebati.
2. Bentuk bola
Ambil sedikit campuran tadi dan bentukkan menjadi bola-bola kecil.
Bola ini akan menjadi umpan untuk lipas dan semut.
Banyak petua menghalau semut dikongsi di media sosial. -Gambar hiasan
3. Letak di tempat strategik
Letakkan bebola-bebola ini di kawasan strategik dalam rumah anda yang sering didatangi semut dan lipas.
Fokus di kawasan seperti dapur, stor makanan dan belakang peralatan dapur.
Semut dan lipas akan tertarik kepada gula dalam campuran ini dan akan memakannya.
Ubat gigi pula bertindak sebagai bahan toksik yang berkesan untuk menghapuskan haiwan perosak ini.
4. Konsisten
Ulangi proses ini dua hingga tiga kali seminggu sehingga anda tidak lagi melihat kehadiran semut dan lipas.
Konsisten adalah kunci untuk memastikan perosak ini dapat dihapuskan sepenuhnya.
Selamat mencuba!
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube