suria

Simposium Asean-UK perkasa pembangunan ekonomi kreatif serantau

Lebih 100 terlibat dalam perbincangan mengenai hala tuju pembangunan ekonomi kreatif serantau.

KEMENTERIAN Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Sekretariat Asean, Misi United Kingdom ke Asean British Council dan Cultural Associates Oxford menganjurkan Asean-UK Symposium on the Development of Asean Creative Economy Sustainability Framework pada Khamis dan Jumaat di Park Royale Collection, Kuala Lumpur.

Simposium ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan industri budaya dan kreatif di Asean serta memacukan pembangunan mampan dalam Ekonomi Kreatif Asean (ACE).

Lebih 100 peserta termasuk pembuat dasar Asean, akedemia dan pengamal industri terlibat dalam perbincangan mengenai hala tuju pembangunan ekonomi kreatif serantau dengan perkongsian pengalaman pakar dari United Kingdom (UK).

Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus ketika berucap dalam bengkel yang diadakan pada Khamis.

Acara ini merangkumi sesi panel dan bengkel yang membincangkan impak budaya, ekonomi, sosial serta alam sekitar dalam pembangunan ekonomi kreatif Asean.

Hasil utama simposium ini adalah pembentukan rangka kerja ACE yang akan menjadi panduan strategik semasa Malaysia mempengerusikan Asean pada tahun ini.

Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn, menekankan kepentingan ekonomi kreatif dalam pelbagai sektor termasuk seni, harta intelek, pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan. 

Sekitar acara sesi panel dan bengkel bagi membincangkan rangka kerja Asean-UK pada Khamis.

Sementara itu, Duta Besar UK ke Asean, Sarah Tiffin, menyatakan sokongan UK dalam membangunkan sektor kreatif yang kukuh dan mampan di Asean melalui kerjasama strategik ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akhbar Khan, bersama Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman dan Sarah Tiffin.

Kerjasama Asean-UK ini dijangka terus memperkukuh hubungan budaya, merancakkan industri kreatif serantau, dan meletakkan Asean sebagai peneraju ekonomi kreatif global.

Tiffin (tiga dari kiri) bersama Khairul Firdaus (empat dari kanan) pada pembukaan simposium Asean-UK di Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada acara rasmi, Majlis Makan Malam ACE 2025 turut diadakan bagi memberi peluang kepada semua delegasi untuk berinteraksi dan membina hubungan yang lebih erat dalam suasana santai.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Kumpulan Kesenian Jabatan (KKJ) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Lumpur, persembahan muzik daripada SK Musical serta tarian kanak-kanak yang dipersembahkan oleh kumpulan In’Z Dancers. 

Selain itu, majlis ini juga memberikan pengalaman unik kepada para peserta dalam menghargai kekayaan seni budaya warisan Malaysia menerusi persembahan seni serta hidangan tradisional yang disajikan sepanjang acara.

Artikel Lain