ANDA suka bersukan sambil berpeluang memenangi hadiah hebat? Inilah masanya!
Perkeso Run & Ride kembali untuk edisi 2025 dengan lebih meriah dan besar untuk semua penggemar sukan larian dan berbasikal di Malaysia.
Tahun ini ia bakal berlangsung pada 20 April di Dataran Wawasan, Putrajaya.
Pada kali ini peserta berpeluang memenangi sebuah Perodua Bezza bagi acara cabutan bertuah.
Selain kereta idaman ramai itu, terdapat juga hadiah lain seperti motosikal, basikal dan pelbagai kejutan menarik yang menanti.
Acara yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini menyasarkan seramai 10,000 peserta dari seluruh negara.
Misi utama pengajurannya adalah bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perkeso Run & Ride 2025 menyasarkan jumlah penyertaan lebih 10,000 orang.
Ini adalah peluang terbaik untuk mengeluarkan peluh sambil menikmati keindahan Putrajaya tidak kira anda seorang pelari tegar, penggemar berbasikal atau sekadar mahu beriadah bersama keluarga.
Peserta boleh memilih kategori mengikut kemampuan masing-masing:
1. Larian: 3km (kilometer), 6km atau 10km dengan yuran RM50.
2. Berbasikal: 35km dengan yuran RM60.
Pakej Keluarga turut disediakan bagi empat orang ahli:
Larian: RM180
Berbasikal: RM220
Lebih menarik, setiap peserta akan menerima jersi eksklusif Perkeso Run & Ride 2025, medal, beg acara dan kit larian yang mengandungi kejutan istimewa.
Acara ini adalah usaha mempromosi gaya hidup sihat sebagai satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Program yang bermula seawal pukul 7 pagi itu nanti akan dimeriahkan lagi dengan aktiviti sampingan seperti sesi zumba serta pameran-pameran daripada vendor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Program, Dr Azlan Darus, inisiatif ini selaras dengan kempen Perkeso dalam mempromosikan gaya hidup sihat, eratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa atau latar belakang.
“Perkeso Run & Ride 2025 sebenarnya selaras dengan kempen membudayakan amalan hidup sihat yang dipraktikkan Perkeso selama ini di mana kami juga mahu rakyat Malaysia sama-sama amalkan gaya hidup sebegini.
“Jadi, dalam anda bersukan, mengeluarkan peluh pada pagi hari sambil disimbah cahaya mentari pagi, anda juga sebenarnya boleh menikmati keindahan alam di Putrajaya,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini juga seiring dengan visi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang mahu usaha mempromosi gaya hidup sihat sebagai satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pendaftaran dibuka sehingga 28 Februari 2025 bagi mereka yang berminat untuk menyertai acara ini.
Daftar segera di runandride.perkeso.gov.my atau hubungi +603 4264 5089 untuk maklumat lanjut.