suria

Filem pendek ‘Terimalah Mama Papa’ angkat kisah mualaf sambut raya... Agrobank selami perasaan keluarga bukan Melayu di Aidilfitri

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Angeline (kanan) dan Jesse (dua dari kanan).

SEMPENA kedatangan Syawal tahun ini, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) tampil dengan sebuah filem pendek berjudul Terimalah Mama dan Papa yang mengangkat kisah kekeluargaan masyarakat Cina Mualaf di Malaysia.

Tidak hanya menyentuh jiwa, filem berdurasi lapan minit ini meninggalkan mesej yang mendalam mengenai kepentingan menghargai ibu bapa atau anggota keluarga meskipun wujud perbezaan agama dan fahaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata karya itu dihasilkan sarat dengan emosi bertujuan untuk menyedarkan penonton bahawa kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak sentiasa utuh dan tidak pernah berubah.

"Kami di Agro Bank sentiasa menghasilkan filem raya dengan nilai kekeluargaan supaya dapat memberi mesej kepada anak-anak agar selalu mengingati ibu bapa dan pulang ke kampung untuk menjenguk mereka.

"Perbezaan agama, fahaman, budaya dan pandangan sekali pun, mereka tetap ibu bapa kita dan kita perlu sentiasa berbakti kepada mereka," katanya ketika majlis tayangan perdana filem berkenaan di Dadi Cinema, Pavillion.

Filem 'Terima Mama dan Papa' dilancarkan pada Jumaat.

Turut hadir ke acara tersebut, Pengerusi Agrobank iaitu Datuk Yunos Abd Ghani, bersama pengarah filem berkenaan iaitu Sabri Yunus serta barisan pelakon utamanya termasuklah Angeline Tan dan Jesse Lim.

Berkongsi inspirasi di sebalik filem itu, Sabri menyedari banyak filem raya yang diterbitkan hanya memfokuskan terhadap kehidupan masyarakat Melayu sahaja sedangkan kaum lain juga meraikan perayaan berkenaan.

Jelasnya, dia menekankan konsep berbeza kali ini supaya masyarakat dapat menyelami perasaan dan erti Syawal sebenar buat mereka yang bergelar mualaf.

"Sejak dulu lagi filem-filem raya selalu fokuskan kisah orang Melayu sahaja, ramai yang tidak tahu bagaimana orang-orang bukan Melayu meraikan hari raya bersama keluarga mereka selepas bergelar mualaf.

"Idea cerita ini dah lama dalam fikiran saya tetapi saya tak tahu nak realisasikan di mana, isu menuntut kepulangan anak semasa raya bagi ibu bapa melayu berbeza dengan ibu bapa mualaf.

"Bagi mereka kepulangan anak mereka itu penting sebagai bukti bahawa anak itu reda dan menerima penghijrahan mereka," jelasnya.

Filem Terimalah Mama dan Papa kini telah pun menemui penonton menerusi platform media sosial Agrobank bermula 14 Mac lalu.

Artikel Lain