SEMAKIN menghampiri Syawal, umat Islam khususnya di Malaysia giat melakukan persiapan raya masing-masing.
Selain menyiapkan baju dan membeli kuih, dekorasi rumah turut menjadi aspek penting bagi mencipta suasana meriah Aidilfitri yang disambut bersama keluarga dan rakan-rakan.
Tidak mungkin dekorasi ketika hari raya kelihatan sama seperti hari-hari biasa, sudah tentu berbeza dan lebih istimewa.
Tanpa perlu berbelanja besar untuk mendapatkan suasana mewah, dengan sedikit kreativiti dan susun atur yang bijak, rumah anda boleh tampak lebih elegan dan selesa.
Menurut portal Rumah Kabin, berikut beberapa panduan dekorasi rumah dengan bajet bawah RM1,000:
Pemilihan warna penting untuk menyerlahkan dekorasi.
1. Tema warna elegan
Gunakan warna neutral seperti putih, krim, kelabu, dan coklat muda sebagai warna asas.
Padankan dengan warna aksen misalnya navy blue, hijau botol atau ungu gelap untuk menambahkan lagi daya tarikan.
Elakkan kombinasi warna yang terlalu terang atau bertentangan agar rumah tampak eksklusif.
2. Susun atur perabot
Elakkan penggunaan perabot besar atau berlebihan yang menyempitkan ruang.
Pilih saiz perabot mengikut keluasan ruang misalnya gunakan sofa kecil dan meja sisi yang lebih sesuai.
Susun perabot secara simetri untuk keseimbangan dan ruang laluan yang selesa.
Gunakan perabot berkaki tinggi untuk ilusi ruang lebih lapang dan pencahayaan lebih baik.
3. Aksesori murah, gaya mewah
Pilih aksesori dengan kemasan seperti emas, perak, ros emas pada ada bingkai gambar, pasu bunga, atau lilin menambah sentuhan elegan.
Gunakan fabrik berkilat seperti baldu atau satin untuk sarung kusyen dan alas meja bagi mencipta dimensi menarik.
Letakkan karpet lembut dan tebal dalam warna neutral dan bercorak halus atau polos untuk meningkatkan keselesaan pada ruangan.
4. Cermin untuk ilusi ruang luas
Letakkan cermin besar berhadapan tingkap untuk pantulan cahaya semula jadi menjadikan ruangan kecil kelihatan luas dan cerah.
Pilih bingkai elegan seperti kayu gelap atau logam untuk sentuhan mewah dan memberi penegasan visual yang menarik.
Gunakan beberapa cermin kecil untuk mencipta gallery wall yang artistik dan unik.
Meletakkan tumbuhan dalam rumah boleh menambahkan lagi seri kediaman.
5. Pencahayaan dramatik untuk suasana mewah
Gantikan lampu siling biasa dengan lampu candelier yang sesuai dengan saiz ruangan bagi mencipta impak visual yang mengagumkan.
Letakkan lampu lantai dengan rekaan yang tinggi di sudut-sudut ruangan untuk tambah pencahayaan lembut.
Gunakan lampu meja hiasan dengan rekaan yang unik untuk mewujudkan suasana intim dan selesa.
6. Tumbuhan hiasan
Letakkan tumbuhan berdaun besar seperti pokok ara biola, keladi lubang atau java palm di sudut ruang untuk impak visual yang tinggi.
Bagi ruang yang kecil, pilih tumbuhan gantung seperti sirih gading, english ivy atau string of pearls bagi menjimatkan ruang dan nampak unik.
Selitkan tumbuhan kecil misalnya succulents dan kaktus di atas meja kopi, rak buku atau kabinet sentuhan semula jadi yang minimalis.
7. Langsir dan kusyen untuk sentuhan mewah
Pilih langsir dengan fabrik elegan seperti baldu, satin atau linen dan corak halus atau tekstur menarik. Gantung tinggi hingga lantai untuk kesan dramatik.
Gabungkan pelbagai corak seperti stripe, polka dot dan floral dengan kusyen polos untuk keseimbangan. Pilih fabrik baldu, suede atau kapas berstruktur untuk tekstur mewah.