suria

Kilang OEM dedah banyak jenama mewah AS, Eropah dikilangkan di China... Tawar harga tak masuk akal jika buat pembelian terus

Akaun TikTok Senbegs mendedahkan beberapa jenama mewah yang mendapatkan khidmat pengilang di China.

PRODUK keluaran China sememangnya menjadi pilihan ramai kerana harganya yang lebih murah dan boleh dibeli dalam kuantiti yang banyak.

Malah, kebanyakan jenama terkemuka dunia menjadikan China sebagai pengilang produk mereka sebelum ia dilabelkan semula mengikut lokasi asal pengeluaran.

Meskipun terlibat dalam pembuatan barangan mewah, namun kualiti setiap produknya sering menjadi pertikaian sehingga wujud satu tanggapan negatif terhadap label 'Made in China'.

Tambahan pula, sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara, China tampil dengan pendirian tegasnya melakukan timbal balik kenaikan kos yang berlaku.

Pertukaran tarif ini menyebabkan cukai AS ke atas barangan China melonjak ke 145 peratus, manakala China pula mengenakan cukai balas sebanyak 125 peratus ke atas barangan dari AS.

Trump memperkenalkan tarif baharu pada 2 April lalu.

Trump memperkenalkan tarif baharu pada 2 April lalu.

Pada masa sama, AS seolah-olah melancarkan 'perang' ekonomi ke atas China dengan mengeluarkan propaganda tentang kualiti produk yang dihasilkan republik itu. 

Susulan pertikaian yang berlaku, terdapat beberapa individu dipercayai pihak pengilang di China tampil dengan video yang mendedahkan penggunaan barang dan material bagi setiap penghasilan produk mengikut permintaan jenama.

Salah satu akaun video tular di TikTok, Senbags2 mendedahkan beberapa jenama mewah dunia telah memilih China sebagai pembuat produk sejak lebih 30 tahun lalu.

Malah katanya, China telah menjadi pengilang OEM (Original Equipment Manufacturer) bagi kebanyakan jenama mewah di seluruh dunia termasuk Gucci, Prada, Coach, Louis Vuitton.

OEM merujuk kepada syarikat yang menghasilkan komponen atau produk yang kemudiannya dijual kepada syarikat lain untuk dijual semula di bawah nama jenama syarikat tersebut.

"Sebelum ini saya tidak berasa bangga kerana kami hanya membuatnya sahaja, upah dan margin keuntungan untuk menghasilkan beg adalah sangat rendah.

"Apa yang membuatkan saya bangga adalah, kami mempunyai kawalan kualiti terbaik dan tenaga kerja mahir. Anda sedia maklum bahawa tenaga kerja daripada China adalah bijak dan rajin.

"Kami mempunyai pengurusan rantaian bekalan yang lengkap dan sentiasa peroleh apa yang kami mahukan... zip, aksesori, warna dan jenis kulit,"  katanya.

China mempunyai kawalan kontrol yang terbaik.

China mempunyai kawalan kontrol yang terbaik.

Tambahnya, pada masa ini, AS dan Eropah cuba menafikan produk keluaran China dan membuatkan beberapa jenama mewah cuba mencari pengilang OEM selain China.

"Mereka cuba, tapi gagal kerana kilang OEM yang lain tidak mempunyai kawalan kualiti mahupun tenaga kerja yang mahir seperti China.

"Bayaran upah pekerja mereka sangat mahal atau mungkin terlalu malas. 

"Pengilang terbabit tidak mempunyai pembekal dan sering mengalami kesukaran untuk mendapatkan material seperti kulit, zip dan aksesori lain bagi penghasilan produk.

"Disebabkan itu, China sentiasa menjadi pengilang OEM terbaik untuk jenama mewah," jelasnya.

Sehubungan itu, jurucakap akaun Senbegs menyeru orang ramai untuk terus menghubunginya dan membuat pembelian terus.

Malah katanya, pembeli pasti sukar mempercayai harga yang akan ditawarkan mereka.

Artikel Lain