suria

Gerakan #Not4Kids kawal penyalahgunaan rokok elektronik, kanak-kanak dilarang sama sekali!

Beberapa kejadian yang memperlihatkan golongan bawah umur menghisap rokok elektronik dan menyedut gula-gula yang mengeluarkan asap seperti rokok.

BARU-BARU ini kecoh di media sosial memperlihatkan dua pelajar sekolah lengkap berpakaian seragam sedang menghisap vape di perhentian bas yang sekaligus menimbulkan keresahan orang ramai apabila rokok elektronik itu mudah dibeli tanpa pengawasan.

Tidak cukup dengan itu, kecoh pula beberapa pelajar sekolah rendah dilihat seronok menghisap 'gula-gula rokok' yang apabila disedut mengeluarkan asap, selain perasa vape dalam bentuk bubble gum dan cotton candy.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak sekolah rendah dah mula merokok, 'smoker' tegar berjaya ajak 60,000 tinggalkan rokok

Itu belum lagi peranti yang direka bentuk sebagai jam tangan digital yang membolehkan pelajar membawanya ke sekolah tanpa dikesan.

Menyedari tentang perkara itu, syarikat NCIG (M) Sdn. Bhd. mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan gerakan #Not4Kids bagi menggesa seluruh industri bertindak dalam memastikan semua produk berkaitan selamat daripada jangkauan kanak-kanak di bawah umur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIG, Shariffuddin Bujang berkata, pihaknya mengutuk tindakan pengilang dan peruncit tidak bertanggungjawab yang menyasarkan kanak-kanak sebagai pelanggan untuk produk dewasa.

"Kami bimbang dengan kes-kes yang berlaku di sekolah dan sedia membantu pihak berkuasa, pentadbir sekolah dan kumpulan masyarakat untuk berperang melawan penipuan ini dalam kalangan belia.

Shariffuddin mewujudkan gerakan #Not4Kids bagi membanteras penggunaan barangan dewasa dalam golongan kanak-kanak. 

"Gimik seperti itu direka untuk menyusup masuk ke pasaran belia. Kami di NCIG tidak akan membiarkan atau menyokong tindakan mereka yang membuat dan menjual peranti ini.

"Ini adalah masa untuk semua di dalam industri ini mengambil peranan yang lebih bertanggungjawab dan proaktif bagi menjaga belia kita," katanya.

Dalam pada itu, Shariffuddin berkata, gerakan #Not4Kids itu akan menggesa penguatkuasaan lebih teguh di seluruh rantaian jualan dan edaran produk berkaitan bagi memastikan semua ejen dan peruncit tidak menjual kepada kanak-kanak di bawah umur.

Sebagai langkah segera, NCIG akan menguatkuasakan pendaftaran mandatori menggunakan kad pengenalan bagi pengaktifan peranti jenamanya.

Usaha lain yang diambil termasuk mereka semula pembungkusan dengan penambahan label amaran yang melarang jualan kepada kanak-kanak bawah umur.

Selain itu, pihaknya juga akan melarang kanak-kanak di semua premis NCIG di seluruh dunia.

NCIG adalah syarikat tempatan berasaskan teknologi yang merekabentuk, mengeluarkan dan mengedarkan alat yang paling berkesan untuk membantu perokok dalam menghentikan ketagihan terhadap rokok.

#Not4Kids, NCIG, Vape

Artikel Lain