suria

Mahu cari kerja? Ketahui servis yang bantu hubungkan anda dengan bakal majikan

Jobtiviti tampil dalam usaha membantu siswazah mencari pekerjaan impian mereka. Foto AZLINA ABDULLAH

MASALAH pengangguran semakin membimbangkan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan seramai 516,000 individu tidak bekerja termasuk graduan.

Angka itu juga jelas menunjukkan memiliki ijazah bukan lagi jaminan untuk mendapat pekerjaan, selain faktor kekurangan kemahiran yang diperlukan industri.

ARTIKEL BERKAITAN: Jika 'dirampas' anak-anak ketagih gajet pasti mengamuk... apa kata cuba aplikasi ini

Pun begitu, harapan untuk mendapatkan kerja masih ada sekiranya anda berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu, selain menggunakan saluran mencari pekerjaan yang tepat.

Atas dasar itu juga, Ezlan Mohsen yang juga pengasas Jobtiviti tampil dengan aplikasi itu dalam usaha membantu siswazah mencari pekerjaan impian mereka.

Ezlan bersama pasukannya sedang meneliti aplikasi Jobtiviti. 

"Berdasarkan kajian, ramai pencari kerja muda ini berusaha menghantar resume ke pelbagai syarikat, namun ia tidak efektif selain kebarangkalian mendapat maklum balas yang minimum.

"Kami juga percaya proses sedia ada tidak cukup menggambarkan potensi seseorang itu selain golongan pencari kerja ini mempunyai bakat serta kemahiran tertentu dan bukan bersandarkan kepada resume semata-mata.

"Sebab itu juga kita tampil dengan aplikasi ini bagi memudahkan proses mereka mencari kerja untuk dipadankan dengan majikan berpotensi," katanya.

Bina profil bukan resume

Menjelaskan mengenai Jobtiviti, Ezlan memberitahu pencari kerja hanya perlu memuat turun aplikasi itu secara percuma dan mendaftar untuk memiliki profil sendiri.

Tiga langkah mudah bagi pencari kerja menggunakan Jobtiviti.

Menerusi profil itu nanti, calon bukan sahaja boleh memuat naik resume mereka tetapi juga mengemas kini aktiviti harian mereka seperti melakukan kerja sukarelawan, berkongsi info mengenai pekerjaan part-time serta apa-apa aktiviti produktif yang boleh membina profil mereka untuk perhatian majikan berpotensi.

"Dengan cara ini mereka tidak hanya bersandarkan kepada resume semata-mata tetapi 'menjual' kemahiran, bakat dan personaliti mereka dalam menarik minat bakal majikan.

"Seperti tagline kami 'You Are More Than Your Resume' - kami mahu calon-calon ini bina profil mereka kerana dengan cara itu ia turut memberi tambah nilai kepada resume sedia ada," ujarnya.

Tambahnya, Jobtiviti juga mempunyai pelbagai kuiz tentang perkara berkaitan yang boleh dijawab oleh pencari kerja yang turut diletakkan dalam profil mereka.

Sementara itu, Ezlan berkata, pihaknya akan memadankan pencari kerja dengan majikan berpotensi menerusi kriteria tertentu dan semua profil tersebut dapat diakses oleh mereka dalam mencari calon sesuai.

Ezlan memberitahu Jobtiviti bukan sahaja membantu pencari kerja tetapi majikan yang ingin mencari calon mengisi kekosongan jawatan.

Menerusi saringan itu juga kata Ezlan, bakal majikan akan meminta mereka menjawab tiga soalan dalam bentuk rakaman video yang dimuat naik ke profil mereka.

"Ia juga sebagai salah satu cara mudah dan menjimatkan masa kedua-dua belah pihak dengan melakukan temuduga secara rakaman video sebelum dinilai oleh majikan.

"Sekiranya majikan berpuas hati dengan jawapan diberikan barulah calon akan dipanggil untuk temuduga bersama bakal majikan," jelasnya.

Bantu majikan cari calon secara percuma!

Dalam perkembangan sama, Ezlan memberitahu aplikasi itu bukan sahaja memudahkan pencari kerja tetapi majikan berpotensi dalam mencari calon sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan di syarikat masing-masing.

Ini kerana katanya, Jobtiviti sudah membantu membuat senarai pendek calon berpotensi untuk majikan dan mereka tidak perlu meneliti setiap resume dihantar secara manual.

Ezlan bersama pasukannya yang membangunkan Jobtiviti.

"Aplikasi ini juga diwujudkan sebagai revolusi membantu majikan kerana bukan mudah untuk meneliti setiap resume secara manual kerana ia mengambil masa panjang selain servis lain mengenakan caj tinggi.

"Paling penting perkhidmatan ini juga kami tawarkan secara percuma kepada syarikat-syarikat yang mendaftar dengan Jobtiviti ," katanya.

Sehingga kini kata Ezlan, hampir 100 syarikat telah berdaftar dengan Jobtiviti yang kebanyakannya mencari calon untuk jawatan dalam bidang jualan, teknologi, pengurusan dan pelatih.

Manakala 3,000 profil sudah diwujudkan sejak ia dilancarkan sebulan lalu.

Artikel Lain