TIGA jam! Itulah tempoh masa yang diambil bagi 15 ahli Persatuan Bentan Malaysia dan Istana Budaya bagi menyiapkan replika tanjak Pahang dikenali sebagai 'Lang Menyongsong Angin' pada Sabtu lalu. Bagi yang tidak tahu mengenai tanjak tersebut, ia adalah hiasan kepala yang digunakan Sultan Pahang untuk istiadat diraja di negeri berkenaan. Kini orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri replika gergasi itu di lobi Istana Budaya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) sehingga Mac depan. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan tak percaya, lawatan ke muzium, galeri seni boleh bantu panjangkan usia anda Pameran itu bukan sahaja mengetengahkan Lang Menyongsong Angin tetapi juga tanjak Destar Sunda Menggamit, Tengkolok Belalai Gajah, Destar Datuk Diraja dan Setanjak Balung Raja. Pelbagai aksi para peserta bekerjasama bagi memastikan tanjak yang dibina kukuh. Ia bertujuan mengangkat kembali warisan kegemilangan Melayu ke tempat sewajarnya selain memberi pendedahan kepada generasi baharu mengenai keunikan dan sejarah tanjak yang digunakan sejak zaman berzaman. Bercakap mengenai tanjak terbesar itu, Presiden Persatuan Bentan Malaysia, Datuk Nazri Kamal Al-Bentan memberitahu ia berketinggian 3.66 meter dengan menggunakan kain broked. Pemilihan itu juga bersesuaian dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berasal dari Pahang. Kain broket sepanjang 34 kaki digunakan bagi membina replika setinggi 3.66 meter. “(Selain itu) Al-Sultan Abdullah juga turut memakai tanjak ini dalam acara rasmi dan istiadat diraja di negeri Pahang,” katanya. Nazri Kamal berkata dengan adanya pameran mengenai tanjak yang sering dikaitkan dengan istana dan kepahlawanan serta dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu, ia dapat mendedahkan kepada generasi muda adat memakai tanjak. “Pemakaian tanjak ini perlu dipakai bersesuaian dengan istiadat dan tempat yang sesuai iaitu dengan berpakaian penuh berbaju Melayu, bersampin dan bercapal atau berkasut,” katanya. Nazri Kamal yang berpakaian lengkap berbaju Melayu serta bertanjak turut menyatakan pemakaian tanjak oleh generasi muda secara berpakaian kasual dengan berkemeja-T dan berseluar jeans adalah tanjak kreasi. Peserta bertungkus-lumus menyiapkan replika tersebut. “(Tetapi bagi) tanjak Warisan tidak sesuai dipakai dengan pakaian biasa atau kasual,” katanya. Menyentuh mengenai tanjak yang terbesar itu, Nazri Kamal berkata selepas pameran itu, kain tanjak akan dipotong menjadi helaian kain untuk dijadikan tanjak biasa dan akan diberikan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim sebagai cenderahati bagi memperkasakan budaya, adat dan warisan Melayu. “Kalau mereka hendak membeli di luar, harga tanjak itu bermula dari RM80 satu dan boleh mencecah hingga ribuan ringgit, bergantung kepada jenis kain yang digunakan,” katanya.