suria

Awas! Teruja promosi ubat ajaib dalam talian untuk si bulus boleh bawa padah!

“MAGIC All In One"! Produk yang didakwa sangat berkesan menyembuh pelbagai jenis penyakit haiwan kesayangan anda. Dengan sekali dos, kucing tidak bermaya akibat selesema, cirit-birit dan macam-macam lagi penyakit boleh sembuh.

Iklan yang dipaparkan di laman media sosial ini dijual pada harga RM50 sahaja.

Iklan produk ini turut menarik perhatian pekerja swasta yang dikenali sebagai Amri, 35, untuk mencuba "ubat"  tersebut bagi merawat kucing kesayangannya bernama Brownie yang sudah beberapa hari tidak sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mengaku cat lovers tapi tengok kucing jalanan nampak jijik, rasis sangat” - Si bulus pun jadi mangsa pilih kasih... jangan pandang yang bulu lebat je!

Amri menjadi yakin apabila membaca komen netizen di laman sosial yang memberikan komen positif lagi pun kesuntukan masa untuk membawa kucing kesayangannya berjumpa doktor veterinar.

Bagaimanapun, kucingnya yang berusia enam bulan itu bukannya semakin sembuh selepas diberi "ubat ajaib" tetapi bertambah teruk keadaannya. Hanya terbaring, tidak mampu makan, mengalami sawan, kejang satu badan dan akhirnya Amri bergegas membawa Brownie ke klinik veterinar berdekatan.

Jika terdapat sebarang masalah bawa kucing anda berjumpa doktor veterinar. 

Bagaimanapun, dalam keadaan kecemasan begini, apa yang boleh doktor haiwan buat hanyalah memberi rawatan sokongan seperti masukkan air untuk stabilkan keadaannya pada masa sama menyiasat apakah rawatan yang diberikan sebelum ini..

“Siasatan ini perlu kerana amat penting bagi doktor mengetahui sejarah perubatan sebelum memberikan rawatan pada haiwan berkenaan. Betapa terkejutnya saya apabila Amri memberitahu saya dia membeli ubat di Internet untuk mengubati penyakit kucingnya.

“Brownie bagaimanapun tidak dapat diselamatkan disebabkan keadaannya sangat kritikal,” kata Dr Perubatan Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali kepada Bernama ketika berkongsi antara kes rawatan yang pernah dikendalikannya akibat pembelian ubat laman maya.

Tiada istilah ubat 'magic' buat si bulus 

Dr Salehatul Khuzaimah yang juga merupakan Pengarah Serv-U Veterinary Clinic dan Trio Veterinary Clinic berkata kliniknya di Kota Kemuning banyak menerima kes salah rawatan akibat pembelian ubat di laman maya yang digunakan untuk mengubati haiwan peliharaan mereka.

Paling menyedihkan, apabila kebanyakan pemilik haiwan ini meletakkan harapan sangat tinggi bahawa doktor veterinar boleh memperbaiki kesilapan yang mereka buat iaitu dapat menyembuhkan kembali kucing atau anjing peliharaan dengan kadar segera selepas kegagalan ubat tersebut.

"Penjualan ubat untuk haiwan peliharaan pada masa ini agak membimbangkan sama ada dalam bentuk pil mahupun suntikan ubat terkawal seperti antibiotik dan anti-kurap. Ini bukan isu persaingan tetapi yang kita risau dalam kalangan doktor veterinar adalah nasib haiwan.

Bukan semua ubat sesuai untuk kucing anda.

“Sebenarnya, mungkin kucing itu demam biasa tetapi menjadi kronik selepas menggunakan ubat yang dibeli di Internet. Mungkin ubat itu sudah tamat tarikh luput, sah atau tidak, pun kita tidak tahu, mungkin ubat tiruan dan dos diberikan mungkin terlebih.

"Apa yang berlaku pada Brownie adalah dos ubat Magic All In One yang disyorkan dalam iklan tersebut adalah tinggi serta tidak sesuai pada anak kucing itu sehingga merosakkan organ dalamannya seperti buah pinggang dan akhirnya maut,” katanya.

Menurut Dr Salehatul Khuzaimah, tidak ada istilah ubat yang diberikan nama Magic All In One dalam bidang perubatan veterinar yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit haiwan seperti didakwa iklan berkenaan.

Ini kerana setiap penyakit haiwan memerlukan rawatan berbeza bergantung kepada penyakit yang dihadapinya selain pemeriksaan rapi seperti sejarah perubatan binatang tersebut sebelum ini, umur, berat badan, mengandung atau tidak, menyusu mahupun sebaliknya wajib diambil kira sebelum preskripsi ubat.

Bukan semua ubat sesuai untuk kucing anda!

Ada sesetengah ubat tidak boleh diberikan untuk rawatan sesuatu penyakit. Begitu juga dengan haiwan mengandung mahupun menyusukan anak tidak boleh diberikan sebarangan ubat selain pemberian dos perlu diberi penekanan penting.

Menurut Dr Salehatul Khuzaimah, kalau terlebih dos boleh merosakkan hati, buah pinggang yang serius kerana kebanyakan ubat akan melalui dua organ tersebut untuk diproses.

Untuk mengelakkan masalah lebih baik dapatkan pandangan doktor.

"Bila sudah terlebih, organ-organ ini tidak dapat menanganinya dan kerana itulah pentingnya diperiksa dahulu oleh doktor veterinar,” jelasnya.

Mengulas mengenai Magic All In One, beliau berkata ia sebenarnya adalah sejenis ubat antibiotik yang kekuatannya bertahap tinggi dan hanya digunakan untuk kes tertentu.

"Tetapi peniaga tidak bertanggungjawab menyalahgunakan ubat antibiotik untuk merawat segala penyakit, ini sangat berbahaya,” katanya.

Kebimbangan beliau ada asasnya kerana penggunaan antibiotik secara tidak terkawal dan tidak kena pada punca penyakit sangat berisiko menyebabkan berlakunya kekebalan antibiotik.

Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana kekebalan antibiotik boleh mengakibatkan bakteria lali dengan kesan ubat-ubatan sedia ada dan menyukarkan sesuatu penyakit itu dirawat sehingga boleh menyebabkan kematian.

Menurut Dr Salehatul Khuzaimah, pemilik haiwan perlu diberi kesedaran dan pendidikan bahawa bukan semua jenis penyakit boleh sembuh dengan ubat antibiotik seperti juga manusia yang tidak boleh mengambil antibiotik sesuka hati tanpa preskripsi doktor.

Artikel Lain