suria

Tidak sedar disihir... Setiap kali mahu ‘bersama’ suami, mulalah Wanni menjerit umpama dirasuk

Wanni kerap terkena histeria setiap kali bersama suaminya. Gambar hiasan.

SEJAK lima tahun lalu, kehidupan Wanni Adnan tidak seperti manusia normal walaupun secara fizikal dia kelihatan sihat.

Kehidupan Wanni berubah 360 darjah sejak dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya yang dikenali melalui seorang kenalannya.

Ketika masih bujang, Wanni merupakan seorang gadis yang 'happy go lucky' serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Sikapnya yang selalu ceria itu menjadikan dia mempunyai ramai kawan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jin Islam atau kafir, manusia ditegah guna khidmatnya! Kenali 10 ciri bomoh guna jin

Alam perkahwinan

Wanni, 37, mengakui sebelum berkahwin dia mempunyai ramai kenalan rapat lelaki dan perempuan, malah menganggap mereka seperti keluarga sendiri memandangkan dia merupakan anak tunggal kepada pasangan yang agak berada.

Malangnya, Wanni tidak sempat bermanja lebih dengan ibunya yang meninggal dunia akibat kanser ketika usianya mencecah 20-an. Jadi tinggallah Wanni dengan bapanya.

Sebaik sahaja tamat pengajian di sebuah universiti swasta di ibu kota, Wanni meneruskan karier sebagai arkitek di syarikat bapanya.



Wanni mengakui sentiasa berada dalam ketakutan jika tinggal berseorangan.

Selepas dua tahun bekerja, Wanni akhirnya mendirikan rumah tangga dengan lelaki bernama Azrishah.

"Kami berkahwin atas dasar suka sama suka dan mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga. Pada awal perkenalan, saya tahu Azrishah sudah pun bertunang dan putus sebelum kami menjalinkan hubungan lagi.

"Jadi bagi saya itu semua ketentuan Tuhan, dan saya tidak pernah berminat mengetahui kisah silamnya.

Keadaan saya bertambah buruk setiap kali ingin bersama suami dan kadang-kala akan menjerit seperti terkena histeria.

WANNI ADNAN

"Sejak berkahwin, saya akui kehidupan saya berubah menjadi lebih positif dan hanya memikirkan keluarga sahaja," kongsinya kepada mStar.

Sering dirasuk

Wanni memberitahu, selepas setahun berkahwin, dia dapat rasa jiwanya tidak tenang dan jantungnya selalu berdebar-debar.

"Suami telah membawa saya berjumpa dengan doktor pakar, namun semuanya okay sahaja. Keadaan saya bertambah buruk setiap kali ingin melakukan hubungan kelamin bersama suami.

"Ketika itu saya akan pengsan dan kadang-kala akan menjerit seperti terkena histeria. Sepanjang malam saya berkelakuan aneh sebegitu. Tetapi semuanya akan baik sebaik sahaja menjelang subuh.

"Selepas beberapa bulan dalam keadaan begitu, suami saya membawa balik seorang ustaz yang dikenalinya ketika mengunjungi masjid berdekatan.

"Ustaz itu membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan ruqyah. Dan ketika itulah saya menjerit-jerit dan mengamuk seperti orang tidak betul.



Wanni lebih banyak berserah kepada Allah dan sentiasa mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran.

"Mengikut cerita suami, saya boleh melawan kudrat beberapa orang lelaki yang cuba memegang saya ketika itu. Memang ketika itu saya jadi kuat seperti hulk," jelasnya sambil berseloroh.

Menurut Wanni, badannya telah dikuasai dengan sihir jahat yang cuba memecah belahkan rumahtangganya.

"Ustaz ada memberitahu bahawa jiwa saya sekarang lemah kerana dikuasai dengan iblis. Saya hanya pulih selepas ayat-ayat ruqyah dibaca. Ketika itu juga badan saya longlai dan cuba merangkak keluar rumah tanpa sedar.

Masih belum pulih

Wanni memberitahu, dia tidak akan berputus asa untuk memohon pertolongan daripada Allah agar dijauhi dengan musibah ini.

"Walaupun hampir lima tahun berdepan dengan masalah ini, saya masih lagi belum pulih sepenuhnya. Tetapi Alhamdullilah keadaan saya tidak lagi seteruk dulu. Cuma sekarang ini saya tidak boleh duduk berseorangan kerana akan ada perasaan takut.

"Saya juga bersyukur suami sentiasa di sisi dan tidak pernah putus harapan mencari ikhtiar memulihkan saya.



Perbuatan menggunakan sihir adalah berdosa besar dan dilaknat Allah. Gambar sekadar hiasan.

"Sebenarnya saya tidak mahu tahu siapa yang menghantar sihir ini, cuma terkilan dengan sikap seseorang manusia yang ada sikap kejam dan iri hati.

"Saya hanya berserah sahaja kepada Allah," jelasnya yang maih belum dikurniakan cahaya mata.

Perbuatan menggunakan sihir adalah berdosa besar dan dilaknat Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat untuk setiap manusia memohon bantuan dan perlindungan.

Islam mengajar umatnya untuk membaca beberapa ayat suci al-Quran sebelum tidur bagi mengelak gangguan sihir manusia dan iblis iaitu ayat al-Kursi, surah Al-Falaq, An-Nas dan Al-Ikhlas masing-masing sebanyak tiga kali.

Umat Islam juga digalakkan berwuduk sebelum tidur dan membaca 'Bismillahirahmanirahim' sebanyak 21 kali.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Histeria, Sihir, Suami, Pengsan

Artikel Lain