suria

Pusing-pusing, di tempat sama... 3 pemuda alami peristiwa ngeri gara-gara lalu jalan pintas dari KL ke KB

Kereta Amarul terhenti tiba-tiba di tengah hutan. Gambar hiasan.

SIKAP tidak sabar tiga pemuda ini untuk cepat sampai ketika pulangh ke kampung halaman bagi menyambut Ramadan akhirnya memberi pengajaran ngeri kepada mereka.

Lima tahun lalu, Amarul Hashim teruja membawa dua rakannya balik ke kampung di Kota Bharu, Kelantan bagi merasai kemeriahan sambutan Ramadan bersama keluarganya.

Menurut Amarul, memang sudah menjadi tradisi dalam keluarganya untuk berkumpul bersama-sama pada malam pertama, berterawih dan bersahur.

ARTIKEL BERKAITAN: Merana sehingga mati... Tergamaknya isteri masukkan darah dan ‘kepala tahi’ dalam makanan suami

Memandu pulang ke kampung

Menurut Amarul, sehari sebelum berpuasa dia dan dua rakan serumahnya bersetuju untuk pulang ke kampungnya dengan memandu secara bergilir-gilir.

"Masing-masing teruja nak ikut saya balik. Maklumlah orang KL (Kuala Lumpur) mana pernah rasa berpuasa dalam suasana kampung.



Amarul bersama dua rakannya memandu pulang ke kampungnya lewat petang. Gambar hiasan.

"Saya lahir dari sebuah keluarga yang mementingkan tradisi. Walaupun sudah lama menetap di Kuala Lumpur, tetapi tidak pernah lupa amalan kekeluargaan saya itu.

"Jadi mereka berdua sanggup bergilir-gilir memandu kerana ingin menikmati perjalanan panjang merentas hutan sebelum sampai ke kampung.

"Biasanya saya lebih selesa pulang menaiki kapal terbang untuk jimatkan masa dan harganya pun taklah mahal sangat.

"Sebelum memulakan perjalanan, ayah saya sudah berpesan supaya pandu kereta berhati-hati, tak perlu nak rushing sampai rumah," kongsi Amarul kepada mStar.

Kereta terhenti di tengah-tengah hutan tebal dan tiba-tiba muncul kabus tebal di atas bumbung kereta sambil terdengar suara mengilai.

AMARUL HASHIM

Mula bosan

Menurut Amarul yang bekerja sebagai doktor di sebuah hospital swasta di ibu kota, perjalanan ke Kota Bharu pada waktu biasa mengambil masa lebih kurang enam hingga tujuh jam.

"Ia terpulang kepada tahap kelajuan memandu. Biasanya saya mengambil masa enam jam untuk tiba di kampung.

"Kami bergerak dari KL selepas waktu Asar. Lebih kurang tiga jam perjalanan dan sudah melepasi Bentong dan Raub, dua kawan saya ini sudah mula kelihatan bosan.

"Kami berhenti di Raub untuk solat Magrib sebelum meneruskan perjalanan. Kalau nak ikutkan jarak perjalanan ke KB, ia masih jauh.



Amarul dan dua rakannya tersedar sebaik sahaja mendengar azan Subuh. Gambar hiasan.

"Timbul idea untuk guna jalan pintas untuk sampai ke Gua Musang melalui beberapa jalan kampung (melalui jalan felda).

"Sebenarnya saya sendiri tak pernah lalu jalan-jalan pintas ni, tetapi memandangkan ada teman memandu, saya nekad untuk mencubanya," jelas Amarul yang kini berusia 34 tahun.

Kereta tiba-tiba rosak

Menurut Amarul, lebih kurang 10 malam, mereka masih berada di jalan kampung yang tidak tahu lokasi sebenarnya.

Mengikut perkiraan perjalanan, sepatutnya dalam tempoh itu mereka sudah tiba di Kuala Krai atau sedang menuju ke Kota Bharu.

"Saya dapat rasa kereta kami berulang-alik di jalan yang sama. Gelap gelita hanya kelihatan pokok-pokok besar dalam hutan tebal.

"Jantung ketika itu memang laju. Masing-masing tak berani nak bercakap. Saya ada juga pasang bacaan ayat-ayat Al-Quran untuk hilangkan rasa takut kami semua.

"Apa yang kami fikir akhirnya terjadi. Kereta kami terhenti secara tiba-tiba.



Amarul menggunakan jalan pintas untuk pulang ke Kota Bharu. Gambar hiasan.

"Nasib baik dalam kereta saya ada simpan lampu suluh yang menjadi penyelamat ketika itu.

"Dalam 'dok' periksa enjin kereta, tiba-tiba muncul kabus tebal di atas bumbung kereta. Bunyi bising suara nyaring, menjerit semua ada ketika itu.

"Kami semua terus masuk kereta, kunci dan tutup muka. Tak sangup nak tengok di luar.

"Dalam pada itu, kami juga dapat rasa kereta seperti digoyang-goyang laju," ujar Amarul.

Tertidur dalam kereta

Amarul memberitahu, mereka terpaksa melaungkan azan sekuat mungkin.

"Itu sahaja yang kami mampu buat. Hampir setengah jam juga kami melaungkan azan sekuat yang boleh dan akhirnya suasana gelap itu jadi tenang.

"Namun kereta masih belum boleh start, jadi kami hanya berehat sehinggalah tertidur," katanya.

Tambah Amarul, dia tersedar apabila sayup-sayup terdengar azan Subuh.

"Rupa-rupanya hari semakin siang tetapi saya masih buntu lokasi sebenar kami berada.



Perjalanan pulang ke kampung mengambil masa lebih 13 jam selepas sesat di tengah hutan. Gambar hiasan.

"Jadi kami ambil keputusan untuk tunggu sehingga cuaca cerah untuk dapatkan bantuan.

"Lebih kurang dua jam selepas itu, ada pakcik menunggang motosikal lalu di tempat kami dan dan beritahu kami berada di tengah-tengah hutan Gua Musang.

"Mujur pakcik tu baik hati tolong kami panggilkan mekanik berdekatan. Dia hanya geleng kepala mendengar cerita kami sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu," jelasnya.

Kawasan keras

Apabila tiba di rumah keluarga 10 pagi keesokannya, baharulah Amarul berani bercerita.

"Rupa-rupanya ayah saya sudah mencari sejak semalam lagi selepas gagal menghubungi kami.

"Nasib baik kami semua selamat. Sebenarnya jalan pintas yang saya lalu itu merupakan kawasan keras dan tidak ada orang yang berani guna jalan itu.

"Di situ juga dikatakan ada perkampungan orang bunian. Betul atau tidak saya tidak pasti.

"Sejak insiden itu, kami memang serik. Kalau mahu memandu pulang, saya akan pastinya akan bergerak pada awal pagi," tambahnya yang mengakui perjalanan paling panjang pulang ke kampungnya lebih 13 jam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Sesat, Hutan, Pantai Timur

Artikel Lain