suria

Ditegur wanita berkebaya ketika joging, malamnya pemuda ini meraung sakit... Itulah, orang tua-tua pesan jangan keluar waktu Maghrib

Saiful kini serik berjoging pada waktu senja. Gambar hiasan.

ORANG tua-tua selalu berpesan, jangan berada di luar rumah pada waktu Maghrib kerana pada waktu itu adalah masa iblis dan syaitan berkeliaran.

Bagi sesetengah orang, pesanan itu hanya untuk menakut-nakutkan kanak-kanak sahaja, namun hakikatnya ia adalah bersebab.

Berkongsi pengalaman tersebut, Saiful Sahak, 30, berkata dia serik melakukan aktiviti berjonging pada waktu malam selepas lebih seminggu mengalami peristiwa pelik apabila kakinya tidak boleh berjalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kucing beri ‘hint’ asyik mengiau pukul 3 pagi, rupa-rupanya ada petanda di rumah baharu

Kesuntukan masa

Menurut Saiful yang tinggal di Puchong Perdana, dia gemar bersenam dan melakukan aktiviti riadah jika kelapangan masa.

Namun, dek tuntutan kerja yang sentiasa pulang lewat, Saiful selalu berjoging menjelang waktu Maghrib.

"Saya akan berjoging sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi menjaga kesihatan dan menghilangkan stres bekerja.



Saiful gemar berjoging di tasik yang terletak di Puchong. Gambar hiasan.

"Kadang-kala lebih kurang pukul 6.30 petang saya akan mula berjoging di kawasan di Puchong, Selangor.

"Tetapi itulah kali terakhir (Disember lalu) saya berjoging di tasik itu selepas jatuh sakit tidak boleh berjalan," ceritanya kepada mStar.

Ditegur wanita cantik

Berkongsi kisahnya, Saiful memberitahu, seperti biasa dia akan berlari perlahan-lahan sekitar tasik itu, kebetulan pada hari kejadian tidak ramai orang.

"Selepas tiga pusingan saya mengambil keputusan untuk balik ke rumah. Lagipun azan Maghrib sudah berkumandang.

"Ketika dalam perjalanan ke tempat parkir kereta, saya ditegur seorang wanita cantik berkebaya serta selendang berwarna putih yang tidak tahu mana datangnya.

Saya ditegur seorang wanita cantik yang tidak tahu mana datangnya.

SAIFUL SAHAK

"Dia tanya saya Abang dah nak balik ke? Saya hanya jawab Ya. Dah nak Maghrib.

"Saya pandang wajahnya sambil beri senyuman dan terus bergerak balik.

"Dalam perjalanan baru saya tertanya-tanya dari mana datangnya wanita itu yang sebelum ini tidak pernah nampak kelibatnya.

"Sebaik sahaja sampai ke rumah, saya terus mandi membersihkan badan sebelum mengambil wuduk.

"Tiba-tiba saya berasa kaki ditarik kejang. Sakitnya hanya Allah yang tahu.



Saiful hanya berjoging keseorangan sebelum ditegur wanita cantik. Gambar hiasan.

"Saya meraung memanggil teman serumah dan terus membawa ke hospital.

"Tiba di sana, doktor memberitahu hanya kecederaan otot, memberi suntikan dan terus balik," jelasnya.

Terus terbaring

Keesokan harinya, Saiful memberitahu kedua-dua kakinya langsung tidak boleh bergerak.

"Saya terpaksa dipapah untuk ke tandas atau bergerak.

"Melihat keadaan itu, saya sekali lagi ke hospital dan mengambil cuti sakit.

"Doktor ada juga memberitahu, tidak ada apa-apa kecederaan otot serius yang terjadi.

"Selepas tiga hari tiada perubahan, saya menelefon ayah yang tinggal di Sabak Bernam untuk datang ke rumah.



Saiful ditegur seorang wanita ketika selesai berjoging menjelang Magrib. Gambar hiasan

"Ayah saya ni adalah sedikit ilmu-ilmu perubatan Islam. Setakat gangguan kecil, InsyaAllah dia boleh merawatnya.

"Selepas mendengar cerita saya, ayah hanya mengangguk-angguk kepala.

"Katanya saya diganggu penunggu tasik itu yang berkenan dengan saya.

"Puncanya saya menjawab pertanyaan wanita itu. Saya hanya terkedu dan beristighfar selepas mendengar penjelasannya.

"Selepas ayah membaca beberapa ayat al-Quran, Alhamdulliah kaki saya semakin pulih dan selepas seminggu sudah kembali normal," jelasnya yang tidak mahu lagi ke tasik itu.

Sebagai perkongsian, daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

"Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup." [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Joging, Maghrib, Tasik, Ditegur, Wanita Cantik

Artikel Lain