suria

Bau hanyir diikuti suara wanita ketawa lalu menangis... Pemuda berjaya rakam imej seram di pohon kemboja

Man berjaya merakam kelibat yang muncul di sebalik pokok kemboja di rumah mertuanya. Foto Ihsan Facebook MAN MANZ

PERNAHKAH anda membayangkan berhadapan situasi seram dan diganggu makhluk halus?

Lebih menakutkan sekiranya anda dapat melihat dengan mata kasar kelibat yang cuba menggangu anda pada malam hari.

Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Man ketika pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah mertuanya baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalaman itu, Man memberitahu dia sedikit pun tidak menyangka akan berhadapan dengan situasi tersebut apatah lagi ketika itu dia sedang bersantai di halaman rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada hantu ikut” - Akhirnya Imej tangan muncul tepi tingkap, mulut cabul pemuda nak usik kawan bawa padah

"Malam itu saya bersama anak lelaki sedang berehat di hadapan rumah mertua, masa itu malam kedua raya haji... Berehat sambil melayan laman sosial," katanya yang turut berkongsi kisahnya itu di Facebook.



Man berasa pelik kameranya menjadi kabur walaupun sebelum ini ia tidak menjadi masalah ketika digunakan pada waktu malam.

Bau hanyir ikan, wanita ketawa

Man memberitahu ketika dia sedang bersantai, suasana di halaman rumah tiba-tiba terasa sunyi selain angin sepoi-sepoi bahasa menyapa tubuhnya. Suasana itu membuatkan bulu romanya berdiri tegak.

Meskipun berasa tidak sedap hati, Man memberitahu dia cuba tidak melayan perasaan buruk itu sehinggalah dia terhidu bau hanyir seperti ada orang sedang menyiang ikan.

"Sebelum benda itu betul-betul muncul, memang saya dah terasa lain macam dengan angin yang datang sepoi-sepoi secara tiba-tiba.

"Lebih menyeramkan saya terbau hanyir, bau seperti ikan keli... Tiba-tiba saya terdengar bunyi macam ada seorang perempuan sedang ketawa! Saya masih abaikan kerana menyangka ia mungkin dari rumah jiran mertua saya," ceritanya.

Kamera telefon tidak mahu fokus, saya sendiri pelik. Saya tunggu bila ia mahu muncul kembali tetapi apabila saya mahu duduk, ia memunculkan diri.

MAN

Man memberitahu, semakin dia tidak melayan gangguan tersebut, ia semakin menjadi-menjadi sehinggalah dia terdengar suara wanita tadi bertukar menjadi tangisan teresak-esak.

"Sayup sahaja bunyinya, angin terus datang kuat... Ketika itu baru saya terperasan ada bayang-bayang kabur seperti asap di kawasan pokok kemboja di hadapan rumah," katanya.

Kelibat menyorok di pokok kemboja, Man beranikan diri rakam bukti

Man memberitahu makhluk itu cuba menunjukkan dirinya dengan jelas di sebalik pokok kemboja tersebut dan dia memberanikan diri untuk berdiri di pagar rumah dan merakamkan video serta gambar tentang apa dilihatnya.

Meskipun dapat merakamkan beberapa keping gambar, Man berasa hairan hasilnya kabur meskipun sudah menetapkan fokus kamera telefonnya.

"Kamera telefon tidak mahu fokus, saya sendiri pelik. Saya tunggu bila ia mahu muncul kembali tetapi apabila saya mahu duduk, ia memunculkan diri.



Gambar kawasan tempat Man melihat kelibat itu yang dirakam pada waktu siang.

"Terkejut bercampur takut itu ada tapi saya nekad dan sentiasa 'on' kamera dan video... Apabila ia muncul saya terus bangun dan rakam," katanya.

Cerita Man, apabila dia berjaya merakam kelibat itu, apa dilihat dengan matanya seolah-olah sukar dipercayai - iaitu susuk berwajah hodoh, pucat, berbaju lusuh berserta tanah, berambut panjang namun tiada mulut.

Pelik, gambar pecah, kamera tak boleh 'zoom'

Namun kejadian pelik sekali lagi berlaku, apabila cubaannya zoom kamera telefonnya untuk mendapatkan gambar kelibat itu lebih jelas tidak berjaya, apabila kameranya 'menendang' zoom in yang dilakukan.

"Apabila saya zoom balik, gambar terus menjadi pecah, tak tahu kenapa sedangkan video-video lain yang saya rakam pada waktu malam, elok sahaja kualitinya," kata Man.



Kelibat yang memunculkan diri di halaman rumah mertuanya masih menjadi misteri.

Tidak terhenti di situ, Man memberitahu kelibat itu turut memusingkan kepala 360 darjah ketika dia merenung ke arahnya membuatkan dia mula berasa takut dan meremang.

"Saya kuatkan semangat juga sambil mulut tak henti-henti membaca ayat dan surah... Ia toleh pula mukanya membuatkan saya meremang dan rasa kaki tak pijak atas lantai, jantung berdegup jangan cakap, laju macam orang baru lepas pecut 100 meter," imbaunya.

Man turut berkongsi gambar dan video yang dirakamkannya di Facebook miliknya bagi membolehkan masyarakat menilai sendiri apa telah dilaluinya pada malam itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain