suria

“Ramai ‘orang’ dalam rumah kamu” - Meremang bulu roma... Perangai anak 3 tahun berubah, asyik bangun awal pagi pandang arah pintu dan ketawa

Sikap pelik anak Siti yang akan bangun tepat pukul 3 pagi mengundang resah kepadanya. - Gambar Sekadar Hiasan

SEJAK Humairah memasuki usia tiga tahun, Siti mula membiasakan anak sulungnya itu tidur di biliknya sendiri kerana tidak mahu kanak-kanak itu terlalu memerap dengannya.

Pun begitu cerita Siti, bagi memastikan keselamatan anaknya, dia menggunakan katil 'baby court' selain memasang kamera litar tertutup bagi membolehkan dia memantau anaknya itu dari biliknya.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, Siti mula rasa tak tenteram apabila Humairah sentiasa terbangun tepat pukul 3 pagi sambil ketawa dan memandang ke arah pintu seolah-olah ada seseorang yang sedang memanggilnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bau hanyir diikuti suara wanita ketawa lalu menangis... Pemuda berjaya rakam imej seram di pohon kemboja

Pada awalnya kata Siti, dia tidak merasakan ia sesuatu yang pelik kerana menyangka ia perkara biasa namun ia semakin kerap berlaku sehinggakan adakalanya anaknya tidak kembali tidur hingga ke pagi.



Ustaz terkejut melihat banyak 'orang' dalam rumah Siti.

Suka menyendiri, menangis tak dapat tidur bilik sendiri

Apa yang lebih pelik kata Siti, personaliti anaknya juga berubah apabila menjadi seorang pemalu dan suka menyendiri tidak seperti apa dilihat dalam rakaman CCTV.

Selera makan anaknya juga berubah selain suka memerap dalam bilik dan bermain seorang diri sambil bercakap seolah-olah sedang berbual dengan seseorang.

Puas dipujuk anaknya namun sikapnya tetap sama malah akan menangis jika kemahuannya tidak dituruti.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Siti berkata, dia memindahkan katil anaknya itu ke dalam biliknya namun Humairah akan menangis dan tidak mahu tidur di biliknya.

"Saya tak tahan melihat dia menangis tidak mahu tidur di dalam bilik saya, jadi saya pindahkan dia kembali ke biliknya dan ketika itu barulah dia senyap.

"Malam itu saya tidur bersama di biliknya dan seperti biasa tepat pukul 3 pagi dia akan terbangun dan memandang ke arah pintu sambil ketawa.

"Memang meremang bulu roma saya tetapi apabila dia sedar saya sedang memerhatikannya, dia segera baring dan menutup mukanya dengan selimut," ujarnya.



Ada yang cuba mendampingi anak Siti.

Ustaz terkejut ramai 'orang' dalam rumah

Tahu ada sesuatu tidak kena dengan anaknya, Siti memanggil seorang ustaz ke rumahnya bagi melihat keadaan di rumahnya serta anaknya yang dipercayai didampingi sesuatu.

Seperti dijangka kata Siti, reaksi ustaz yang tiba-tiba berhenti ketika melangkah masuk ke rumahnya bagai menceritakan segala-galanya.

"Ramai 'orang' dalam rumah kamu ni...," kata ustaz itu ringkas seperti menceritakan keadaan di rumahnya.

Siti terdiam mendengar kata-kata ustaz itu namun cuba menguatkan diri dan mahu apa yang menggangu anak perempuannya berakhir.

Belum sempat dia menceritakan apa yang berlaku pada anaknya, ustaz itu memberitahu ada benda yang berpaut pada anaknya namun apabila nampak kelibatnya, 'benda' itu lari ke bilik.

Bilik yang ditunjukkan ustaz berkenaan adalah bilik anak perempuannya membuatkan Siti dan suaminya saling berpandangan.

Situasi menjadi kecoh apabila anaknya tiba-tiba menangis sekuat hati sebaik ustaz memulakan proses 'pembersihan' serta memagar rumah bagi memutuskan persahabatan anaknya dengan makhluk dipercayai jin yang mahu berdampingan dengan anaknya.

Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal selain makhluk yang mengganggu anaknya itu dapat dihapuskan selepas beberapa cubaan.

"Alhamdulillah, keadaan anak semakin pulih dan buat sementara waktu ini, dia memang tidur dalam bilik saya dalam katilnya bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang lain.

"Ia pengalaman yang tak mungkin saya lupakan kerana sebelum ini hanya mendengar cerita orang tentang ada benda yang berdamping dengan kanak-kanak selain mereka boleh melihat makhluk halus," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
jin, mistik, pendamping, rawatan

Artikel Lain