suria

Ayam keras, kuah kurang rasa tapi kedai sentiasa penuh... Ustaz tak sedap hati, terkejut jumpa bingkai aneh di dinding!

Hindari amalan syirik dalam apa jua urusan harian. -Gambar hiasan

PERSAINGAN sengit menyebabkan sesetengah restoran mengambil jalan pintas untuk kekal relevan.

Malah segelintir pengusaha gerai dikatakan sanggup menggunakan ilmu hitam bagi menonjolkan perniagaan.

Melalui satu hantaran di laman Facebook, seorang pengamal perubatan Islam, Hisyam Jamil, berkongsikan pengalamannya mengunjungi sebuah restoran yang didakwa mengamalkan azimat.

Menurut Hisyam, dia merasakan makanan di gerai tersebut sebagai 'biasa-biasa' sahaja, namun sedikit aneh apabila ia dibanjiri pengunjung tanpa henti.

Impian setiap peniaga untuk melihat gerai meriah dengan pelanggan. -Gambar hiasan

"Setiap hari saya tengok ramai datang makan dekat kedai ni, jadi saya pun tertarik nak pergi cuba. Tapi apabila saya makan, tidaklah sesedap mana makanan gerai tu.

"Ayamnya keras manakala kuahnya kurang rasa. Macam mana pelanggan yang lain boleh nampak berselera betul makan, sampai penuh setiap meja di dalam kedai tu," ujar Hisyam sangsi.

Setelah diselidik dan diamati keadaan sekeliling, Hisyam membuat satu penemuan yang cukup mengejutkan.

"Tiba-tiba mata saya tertancap pada sebuah bingkai yang digantung di dalam kedai tu, sekilas pandang seperti potongan ayat al-Quran, tetapi selepas diamati memang terbukti keraguan saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rambut, bentuk muka sama! Lembaga bergayut di pokok menyerupai anak... Ibu bongkar kisah aneh di rumah pusaka

"Ia adalah ayat al-Quran yang sudah diterbalikkan, diputus-putuskan serta ditulis dalam bentuk seperti segi tiga dan petak. Memang sebiji cara ilmu bomoh, saya dapat cam berdasarkan pengalaman saya dalam bidang perubatan Islam.

"Saya sedikit terkilan memandangkan pengusaha kedai merupakan wanita Muslimah yang memperagakan pakaian tudung labuh semuanya. Saya pun berhenti makan dan terus pergi berdepan dengannya.

"Saya berterus terang kepada peniaga berkenaan... ayat yang digantung tu apa benda sebenarnya?," soal Hisyam cuba mendapatkan penjelasan.

Hisyam berkata wajah peniaga itu langsung bertukar pucat apabila diajukan soalan yang sedemikian rupa.

Semoga kita semua dilindungi daripada gerai yang menggunakan pelaris... berharap pada Allah, bukan tangkal.

HISYAM JAMIL

"Tergagap-gagap peniaga tu nak jawab, sampai senyum pun tak ikhlas waktu tengok saya. Allahuakbar, kenapa sampai cara sebegini anda nak berniaga? Saya pun cakap dekat dia... awak fikir sendiri benda ni baik ke tidak.

"Saya terus berlalu pergi dan biarkan peniaga tu tertanya-tanya," ujar Hisyam kecewa.

Menitipkan pesanan, Hisyam meminta peniaga di luar sana supaya memajukan perniagaan dengan cara yang tidak melanggar syarak.

"Perbaiki kualiti daripada segi makanan, perkhidmatan dan pemasaran. Kita tengok sahaja pada jenama gergasi di luar sana yang mempunyai francais, mereka tak memerlukan pertolongan pelaris pun untuk berjaya.

"Biasanya mereka yang mengamalkan benda-benda macam ni adalah pemilik gerai yang kecil. Berhenti cari salah orang lain, suka betul tuduh orang kononnya hantar sihir sampai pelanggan tak nampak kedai, akhirnya guna juga pelaris.

Ilmu pada sesetengah gedung perniagaan yang diragui di sisi Islam.

"Kalau dah makanan tak sedap, macam mana orang nak datang? Semoga kita semua dilindungi daripada gerai yang menggunakan pelaris sebegini, bergantung harap pada Allah, bukan tangkal.

"Ingat, pelaris juga adalah sihir," kata Hisyam memberikan peringatan.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga sebulat suara berhujah bahawa amalan pelaris boleh membawa kepada jalan mensyirikkan Allah SWT.

"Merupakan perkara yang menyekutukan Allah untuk meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan sebagainya sebagai amalan pelaris

"Hindarilah perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat.

"Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi ayat-ayat al-Quran di samping bermohon kepada Allah supaya dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berganda dalam perniagaan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain