IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib Azie (bukan nama sebenar) yang bukan sahaja terkena gangguan mistik, malah dia turut menjadi mangsa nafsu serakah seorang bomoh. Ceritanya bermula apabila pengasas produk kecantikan itu hidup dalam keadaan tidak tenteram sejak awal tahun ini apabila dia kerap didatangi mimpi pelik. Sejak daripada itu kesihatan Azie merosot apabila dia tidak cukup tidur dek kerana berperang dengan mimpi-mimpi aneh sehingga perniagaannya juga terganggu. Menurut wanita berusia 30-an itu hampir setiap malam dia bermimpi disetubuhi makhluk besar berwarna hitam yang menyebabkan badannya lebam-lebam. Selepas berbulan menderita gangguan mistik itu, Azie akhirnya meluahkan masalah tersebut kepada rakan baiknya yang kemudian memberi cadangan agar dia berjumpa dengan seorang bomoh. Wanita yang menjadi mangsa serangan seksual akan berdepan trauma dalam hidup mereka. -Gambar hiasan Selepas lama memikirkan cadangan itu, Azie dan Syikin akhirnya berpakat untuk berkunjung ke rumah bomoh berkenaan yang terletak di sempadan negeri Pahang. Apabila tiba sahaja ke destinasi yang dituju, bomoh lelaki pertengahan usia itu terus memberitahu Azie bahawa dia tahu niatnya datang mendapatkan rawatan. Azie terkejut apabila bomoh berkenaan tahu secara terperinci tentang gangguan dialaminya, menyebabkan dia semakin yakin untuk mendapatkan rawatan. Azie hanya menurut arahan supaya dia hanya berkemban dengan kain batik sebelum dimandikan dengan air yang dicampur dengan bunga, limau kasturi serta beberapa akar tumbuhan. Selepas dimandikan, bomoh yang digelar Aki itu memberitahu Syikin supaya dia pulang sendiri ke Kuala Lumpur, manakala Azie perlu tidur di situ selama satu malam. Azie pada mulanya agak bimbang dan takut, namun dia diyakinkan untuk meneruskan rawatan memandangkan isteri bomoh itu juga ada di kediaman berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Semalaman tubuh diratah, layan suami balik ‘outstation’ awal... Bangun pagi badan lebam-lebam, rupanya isteri bersetubuh dengan jin! Selepas Syikin memandu pulang, Azie terus tidur memandangkan dia perlu bangun sekali lagi untuk membuat rawatan seterusnya. Kira-kira pukul 3 pagi, Azie dikejutkan oleh bomoh itu, namun dia terkejut apabila Aki menindih badannya dan mula melakukan perbuatan terkutuk sehingga mencabul kehormatannya. Dia bukan sahaja gagal melawan kekuatan fizikal lelaki itu, malah seingat Azie dia juga seolah-olah khayal, seperti sedang dipukau. Azie hanya mampu menangis dan mendiamkan diri sehinggalah dia dijemput Syikin pada siang hari berikutnya. Sepanjang perjalanan pulang, dia hanya menangis dan akhirnya membuka mulut selepas tiba di Kuala Lumpur sebelum mereka pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Pelaku jenayah rogol wajar dikenakan hukuman setimpal. -Gambar hiasan Akhirnya, bomoh berkenaan ditahan, malah isterinya turut didakwa atas tuduhan bersubahat. Selepas seminggu bersedih dan mengumpul semula kekuatannya, Azie pergi mendapatkan rawatan dengan seorang ustaz untuk menghentikan gangguan mistik yang menghantuinya. Ustaz berkenaan turut memberi nasihat kepada Azie agar dia tidak mudah percaya dengan tipu daya bomoh kerana golongan itu banyak bersekongkol dengan jin dan syaitan yang boleh menyesatkan manusia. Sebagai peringatan, hukum berjumpa dengan bomoh adalah haram. Ia berdasarkan hadis diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah bersabda, maksudnya: Barang siapa mendatangi tukang ramal lalu bertanya mengenai sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam. Baginda turut bersabda, maksudnya: Siapa mendatangi dukun dan membenarkan perkataannya, maka dia telah ingkar dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. [Hadis Riwayat Ahmad] Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube