suria

Pekerja buruh sedap berurut, lama-lama rasa lain macam... Rupanya tukang urut sebenar hantar khadam, terkumat-kamit baca mentera

Arman tak sangka tukang urut itu merupakan khadam yang dihantar tuannya. -Gambar hiasan

BEKERJA sebagai buruh di sebuah tapak binaan membuatkan badan Arman menjadi lesu dan sakit urat setiap kali selepas pulang kerja.

Untuk menghilangkan keletihan, dia akan mendapatkan khidmat urutan setiap minggu daripada tukang urut tua, Pak Ali yang tinggal berhampiran.

Pak Ali terkenal dengan sentuhan tangannya yang dianggap magis, menjadikan setiap sesi urutnya berakhir dengan pengalaman menyegarkan.

Namun, pada satu hari, Arman menerima berita yang mengejutkan apabila Pak Ali terpaksa pulang ke kampung di Gua Musang, Kelantan atas urusan keluarga.

Pak Ali bagaimanapun tidak mahu mengecewakan Arman justeru menyarankan tukang urut lain untuk menggantikan tempatnya.

Ketika lelaki itu tiba di kediamannya, Arman berasa kekok dan ragu-ragu memandangkan dia tidak pernah mengurut dengan orang lain selain Pak Ali.

Lelaki itu, yang bertubuh kecil dan tidak banyak bercakap mula mengurut dengan bacaan ayat al-Quran.

Arman selalu membuat tempahan tukang urut daripada Pak Ali. -Gambar hiasan

Arman berasa tenang hingga hampir terlena, tetapi dia dapat merasakan urutan itu aneh rasanya.

Dalam keadaan separuh sedar, Arman menyedari urutan lelaki itu mulai perlahan.

Arman cuba memberi arahan agar urutannya diperkuat, tetapi lelaki itu hanya meneruskan sahaja dengan caranya yang aneh.

Ketika Arman menoleh, dia mendapati mata lelaki itu berwarna merah menyala dan sedang menatap satu sudut bilik dengan riak wajahnya yang bengis.

Dengan suara terketar-ketar, lelaki itu mula terkumat kamit membaca ayat-ayat mentera yang tidak Arman fahami.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini orang atau apa sebenarnya?” - Pemuda terkejut ada kelibat dalam gambar pegang tangan kekasih di kebun getah

Dalam hati, Arman berasa terperangkap dalam ketakutan seolah-olah dia sedang berdepan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan.

Dia cuba untuk bangun, tetapi badannya terasa kaku seolah-olah digam dan anggota tubuhnya tidak dapat bergerak.

Dalam keadaan cemas dan takut, dia berusaha untuk mengingati segala ayat yang pernah diajarkan oleh ibunya.

Dengan berulang kali membaca ayat Kursi dalam hati, Arman mendapat sedikit tenaga dan kekuatan.

Berbekalkan keberanian yang ada, Arman menjerit, “Allahuakbar!

Arman berjaya bangun, tetapi keadaan sekelilingnya membuatkan dia terkejut kerana bilik itu dipenuhi asap kelabu tebal.

Lebih mengejutkan apabila lelaki yang mengurutnya sudah tiada.

Setelah kejadian itu, Arman bertemu pak Ali dan menceritakan pengalaman yang dilaluinya.

Arman diganggu perkara mistik ketika mendapatkan khidmat urutan. -Gambar hiasan

Pak Ali yang tidak menjangka perkara itu berlaku begitu terkejut, tetapi mengangguk perlahan.

“Maafkan saya, Arman. Saya telah menghantar 'khadam' milik saya untuk membantu kamu. Dia (khadam) mungkin tidak sepatutnya mengurut kamu,” kata Pak Ali dengan nada penuh penyesalan.

Arman berasa seram sejuk mendengar kata-kata Pak Ali kerana tidak pernah menyangka akan berdepan situasi menyeramkan hanya dengan berurut.

Sejak hari itu, dia tidak pernah menggunakan khidmat Pak Ali lagi dan lebih berhati-hati memilih tukang urut.

Untuk makluman, khadam terkenal dalam kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu.

Ia merujuk kepada pendamping atau penjaga yang diperoleh setelah mengamalkan ayat-ayat tertentu dengan kaedah yang khusus.

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya cenderung untuk menyatakan bahawa hukum beramal bagi mendapatkan khadam adalah haram dan membawa kepada kesyirikan.

Dalam Islam, syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka hukumnya adalah berdosa besar dan tidak akan diampuni jika seseorang meninggal tanpa bertaubat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain