GARA-gara mengikut rakan, seorang wanita menderita di usia emasnya kerana mengamalkan 'ilmu' yang tidak sepatutnya. Lebih menyedihkan apabila penderitaannya itu berpunca daripada amalan yang dilakukan dalam tempoh yang singkat. Kisahnya dikongsikan oleh Pusat Rawatan Darussham sebagai peringatan dan dijadikan tauladan oleh masyarakat. Memulakan cerita, seorang perawat yang mewakili pusat tersebut berkata, pihaknya tiba-tiba dihubungi seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang mengikuti setiap perkongsian tentang rawatan Islam yang dilakukan. "Apabila kita rawat mereka mengikut kaedah-kaedah yang telah diberikan, ada beberapa kes terbongkar seperti seorang wanita yang mengamalkan 'ilmu' semasa zaman mudanya. "Tapi sekarang dia dah tak amalkan. Walaupun ilmu itu diamalkan sekejap saja, namun tetap mewujudkan pendamping dan apabila masuk umur 50 ke 60 tahun, batin dalaman tu dah tak larat. "Oleh itu, terjadilah macam-macam masalah, tak boleh berjalan dan bangun... sakit itu, sakit ini. Rumah tangga pun terjejas, suami tak mahu dan macam-macam lagi," ujarnya. Rawatan perubatan Islam dapat membantu menghalau gangguan jin. -Gambar hiasan Menurut ustaz tersebut, dia mengetahui tentang 'ilmu' wanita berkenaan selepas melakukan beberapa siri rawatan termasuklah membuang sarang iblis yang 'menetap' di dalam tubuh. "Pertamanya memang dia ada penyakit sarang iblis dan keduanya apabila kita rawat, ada 'benda' lain yang berselindung iaitu amalannya sendiri. "Benda ni kadang-kadang kita imbas tak nampak sebab terlindung, jadi kena rawat dulu satu persatulah sebab akan muncul masalah lain yang kita sendiri pun naik pening nak fikir. Kalau kebiasaannya, rawatan untuk buang sarang iblis akan selesai dalam seminggu atau dua minggu," jelasnya. Bagaimanapun, selepas beberapa siri rawatan dilakukan, keadaan kesihatan wanita tersebut menjadi semakin teruk. Lebih mengejutkan apabila dia tiba-tiba tidak boleh berjalan walaupun 'masalah' yang dialami telah diselesaikan. "Tapi bagi wanita ini, selepas buang sarang iblis, dia tiba-tiba tidak boleh berjalan dan keadaan kesihaan menjadi makin teruk sebab kalau sarang iblis ni kita akan umpan untuk hantu raya, nenek kebayan sebelum pagar rumah dan pagar diri pesakit," katanya. Pelik dengan situasi yang berlaku terhadap wanita terbabit, dia kemudian cuba mencari punca-punca lain yang mengganggu. Malah katanya, rawatan turut dilakukan di rumah pesakitnya bagi mengetahui sekiranya terdapat barang-barang lama mahupun bahan yang mengandungi 'khadam' atau pendamping. Minyak yang diberikan tok bomoh atau perawat kadang kala mempunyai 'khadam'. "Saya periksa benda-benda dalam rumah dia seperti barang-barang lama, minyak-minyak urut yang dapat daripada perawat atau tok bomoh sama ada berkhadam atau tidak termasuklah tasbih. "Ada kes yang tasbih juga mempunyai khadam," katanya yang cuba menyelesaikan masalah dihadapi. Namun malangnya, selepas segala urusan berkaitan dilakukan, dia masih tidak menjumpai punca sakit yang dialami. Sebagai perawat perubatan Islam yang menggunakan ayat al-Quran sebagai asas utama, dia terus melakukan rawatan sehinggalah 'diperlihatkan' makhluk ghaib yang tersembunyi. "Dalam kes ni tak ada tapi makin rawat, makin teruk sampai satu ketika ternampaklah apa yang tersembunyi... sebelum ni di kakinya kita nampak ada benda ghaib, dua ekor pelesit duduk di kiri dan kanan, tergantung. Jadi kita dah buangkan. "Apabila selesai, esoknya nampak benda lain pula, nampak satu makhluk yang berbentuk agar-agar besar berwarna hijau sedang memeluk kaki dan pinggang. "Itu adalah satu jenis toyol yang berwarna hitam, namanya Awang Jidin. Orang guna biasanya untuk mencuri tapi tak tahu macam mana boleh ada pada pesakit ni sebab kebiasaannya Awang Jidin dimiliki lelaki," tambahnya. Muslimah dianjurkan untuk melakukan solat taubat. -Gambar hiasan Mengakui aneh dengan situasi yang berlaku, dia kemudiannya berdoa supaya urusan untuk merawat wanita terbabit dipermudahkan. "Empat hari kemudian, pesakit tu sendiri memaklumkan yang dia ada jumpa seorang tua dan ambil satu ilmu sebab ikut kawan. Dia amalkan sekejap je mungkin dalam tiga, empat hari sebelum berhenti. "Tak pasti sama ada ilmu untuk bagi banyak anak atau kuat rahim atau jarangkan anak... tapi ilmu yang walaupun diamalkan sekejap itu mempunyai pendamping," jelasnya yang akhrnya berjaya membantu menyelesaikan 'masalah' pesakitnya itu. Susulan itu, dia turut berkongsi cara untuk membuang 'ilmu' tersebut kerana ia perlu dilakukan sendiri oleh individu yang mengamalkannya. "Satu kaedah yang perlu dilakukan adalah kena pergi buang sendiri dengan pergi ke tepi laut atau pantai dan masukkan kaki sikit dekat air. "Kemudian niatlah pada Tuhan yang nak buang segala ilmu-ilmu yang salah yang tidak betul sebab sudah insaf dan mohon disucikan. Lakukan juga solat taubat 40 hari berturut-turut," tambahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube