PENYAKIT ain sering dikaitkan dengan pandangan mata yang disusuli perasaan cemburu, iri hati dan takjub dalam kalangan orang terdekat. Perkara sama dialami Zatul sekeluarga selepas bapanya membina sebuah banglo mewah di atas sebidang tanah pemberian datuknya. Berkongsi cerita, dia mengakui pada awalnya tidak mempercayai tentang penyakit ain mahupun sihir akan menimpa keluarga mereka lebih-lebih bapanya. "Saya sukar percayakan sihir, tapi apabila kita dah hadap dan rasa, memang ia (sihir) sesuatu yang kita tak boleh jelaskan secara verbal," ujarnya memulakan cerita. Sihir sering dijadikan 'alat pemusnah' untuk menjatuhkan seseorang. Menurut Zatul, bapanya sering menghabiskan masa bersama keluarga selepas seharian bertungkus lumus menyelesaikan urusan perniagaan berbanding keluar bersama rakan niaga yang lain. Pun begitu, bapanya masih dikenali ramai kerana merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan disegani. "Ayah saya ahli perniagaan yang berjaya. Boleh dikatakan saya mempunyai segala-galanya. "Tapi selepas beberaa bulan berpindah ke rumah banglo itu, ayah tiba-tiba jatuh sakit dan pelbagai perkara pelik berlaku dalam keluarga," luahnya yang merupakan anak tunggal. Lebih menyedihkan, situasi yang berlaku membuatkan bapanya diserang angin ahmar sehingga lumpuh sebelah badan. Mengimbau kejadian yang melanda keluarganya kira-kira enam tahun lalu, ujar Zatul, kehidupan mereka sekeluarga bahagia sehinggalah banglo yang dibina siap untuk didiami. Setiap individu mempunyai rumah impian yang ingin didiami bersama keluarga tercinta. -Gambar hiasan "Rumah tu adalah ilham ayah sendiri dan dia upah arkitek untuk buat reka bentuk. Kemudian terhasillah sebuah rumah mewah yang tersergam indah. "Mungkin sebab lokasi rumah ni di tepi jalan, jadi ia sangat menyerlah sehingga menjemput 'ain' sebab masa awal-awal duduk memang tak ada masalah. "Tak lama selepas itu, satu persatu sihir dihantar dan dituju kepada ayah sehinggalah dia sakit," luahnya dalam nada sayu. Sebagai anak yang menyaksikan kepayahan dan jerih perih orang tua, pastinya dia berasa sedih melihatkan keadaan bapanya yang terlantar sakit untuk tempoh yang lama. Maka usaha mendapatkan rawatan termasuk ikhtiar perubatan tradisional dilakukan. Menurutnya sepanjang tempoh rawatan, pelbagai perkara pelik berlaku terhadap bapa. Malah rumah yang didiami turut mengalami gangguan termasuk bunyi bising dan 'dipenuhi' patung Buddha. Keluarga bahagia adalah impian setiap individu. -Gambar hiasan "Lama sebenarnya cuba bertahan dalam rumah tu dan melawan 'sakit'. Tapi akhirnya, saya sekeluarga surrender sebab terlalu banyak 'patung Buddha' dalam rumah dan bunyi bising. "Genap tujuh tahun mendiaminya, saya buat keputusan untuk jual dan berpindah ke tempat terpencil bersama keluarga," tambahnya yang turut menghentikan perniagaan dijalankan. Bersyukur dengan keputusan yang dibuat, ujar Zatul, sejak memulakan kehidupan baru kesihatan ayahnya kembali pulih. Malah dia kembali mengendalikan perniagaan baharu tanpa mendedahkan identiti sebagai pemilik kerana bimbang insiden sama berlaku. Meskipun sudah lama meninggalkan rumah yang dibina atas titik peluh bapanya itu, Zatul akui pernah beberapa kali meninjau kediaman istimewa itu. Namun katanya, meskipun ia sudah mempunyai tuan baharu, rumah agam tersebut tetap suram. Zatul turut menitipkan pesanan supaya masyarakat tidak memaparkan kebahagiaan waima kemewahan kepada umum supaya tiada individu yang berasa iri hati sehingga sanggup 'merosakkan' orang lain. Penyakit ain boleh menimpa sesiapa sahaja. -Gambar hiasan Dalam pada itu, laman web Mufti Wilayah Persekutuan ada menjelaskan tentang penyakit ain. Malah terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sasaran dan pengaruh 'mata' benar-benar nyata atas perintah Allah SWT, sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis yang diriwayatkan dari pelbagai jalan yang banyak. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/260) Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang dan boleh terjadi sama ada daripada orang dengki atau yang dicintai, orang yang jahat atau orang yang soleh. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.” Beliau turut berkata: “Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205) Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube