suria

Pandu tengah malam, pemuda dakwa ada kuasa ghaib kawal Waze! Suruh masuk 3 simpang tak wujud, halang keluar dari lokasi terpencil

Gangguan makhluk halus boleh menjelma dalam pelbagai bentuk. -Gambar hiasan

MALU bertanya sesat jalan!

Bagaimanapun, perkembangan teknologi masa kini membolehkan seseorang itu untuk tidak bertanya kepada orang lain, sebaliknya hanya perlu menggunakan aplikasi pandu arah untuk sampai ke mana-mana destinasi termasuklah yang belum pernah dituju.

Walaupun begitu, mengikuti aplikasi pandu arah seperti Waze secara membabi buta ternyata boleh membawa mudarat.

Seperti yang berlaku kepada seorang pemuda dikenali sebagai Azam (bukan nama sebenar), dia tersesat sehingga memasuki jalan misteri ketika menggunakan aplikasi Waze.

Perjalanan pada waktu malam lebih mencabar kerana penglihatan yang terbatas. -Gambar hiasan

Menurut Azam, pada malam kejadian dia diajak oleh rakan-rakan untuk bermain badminton di sebuah gelanggang baharu tetapi terletak di kawasan agak terpencil.

"Gelanggang baharu ni macam ke dalam, kena banyak masuk jalan kecil yang sempit. Aku pergi seorang diri dengan menaiki kereta, aku sampai gelanggang tu selepas Maghrib.

"Selesai main semua sekitar pukul 12.30 malam, memandangkan gelanggang tutup pukul 1 pagi. Sebelum memulakan pemanduan pulang ke rumah, aku buka Waze sebab aku tak biasa dengan jalan di situ

"Keadaan jalan memang agak gelap, tak banyak lampu yang dipasang, mungkin kerana jalan kampung. Aku berpandukan Waze sepenuhnya, ke mana 'dia' minta aku belok, aku pusing stereng.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah agam mewah tepi jalan nampak suram... Panahan penyakit ain punca pemilik asal lumpuh, disihir orang terdekat

"Tiba-tiba sampai dekat sebatang jalan ni, Waze minta aku masuk ke simpang kiri. Masalahnya aku tak nampak apa-apa dekat sebelah kiri aku, hanya semak samun. Jalan yang ada cuma ke depan," imbas Azam cemas.

Azam kemudiannya memutuskan untuk tidak mematuhi arahan diberikan Waze dan meneruskan perjalanan mengikut laluan yang ada di depannya.

"Firasat aku kuat mengatakan untuk tidak belok ke kiri demi keselamatan aku, akhirnya aku jalan terus je. Tapi beberapa meter ke depan, Waze sekali lagi 'meragam'.

"Disuruhnya aku belok ke kanan, tapi sebelah kanan ni memang gelap gelita, aku hanya nampak ada jalan kecil yang tak berturap, seperti jalan tanah merah begitu. Ke mana agaknya aku sampai kalau ikut jalan Waze bagi ni?

Kalau aku ikut Waze, tak tahu la apa keadaan aku sekarang.

AZAM

"Aku sekali lagi ambil keputusan untuk tidak ikut Waze, aku belok ke kiri dan jalan terus. Sekarang ni aku lebih percayakan jalan yang ada depan mata aku berbanding Waze. Pada waktu sama, aku dapat rasakan ada sesuatu tidak kena.

"Seolah-olah ada kuasa ghaib yang membuatkan Waze aku jadi 'pening'. Aku pun baca doa apa yang patut untuk minta perlindungan daripada Tuhan. Perjalanan aku terasa lama sangat, entah bila nak sampai jalan besar," kata Azam.

Tatkala suasana dirasakan semakin seram dan bulu romanya mula berdiri, Azam menguatkan semangatnya untuk mencari jalan keluar.

"Akhirnya daripada kejauhan aku nampak lampu terang berderet, maksudnya aku dah dekat dengan jalan besar. Tiba-tiba di simpang yang aku nak masuk jalan utama, Waze sekali lagi suruh aku belok ke kiri.

"Kau gila ke apa? Dekat kiri aku tu memang tiada apa, sekadar belukar je. Waze ni macam sedaya upaya nak halang aku keluar dari kawasan situ, aku terus tutup Waze.

Jalan yang kali pertama dilalui mempunyai pelbagai risiko. -Gambar hiasan

"Apabila dah sampai atas jalan besar, aku hanya ikut papan tanda di tepi jalan untuk pulang ke rumah. Aku dah tak percaya Waze, takut 'dia' aniaya aku lagi masuk jalan bukan-bukan," ujar Azam.

Beberapa hari kemudian, Azam kembali semula ke kawasan sama untuk memeriksa sekiranya wujud simpang yang diberikan oleh Waze itu.

"Kali ni aku datang waktu siang, aku memang tak puas hati, banyak persoalan belum terjawab. Aku pandu kereta ikut jalan sama yang aku lalu malam tu, nak tengok kot-kot simpang Waze suruh masuk tu boleh tembus ke jalan besar.

"Alangkah terkejutnya aku, ketiga-tiga simpang yang Waze bagi dekat aku malam tu memang tiada, yang ada hanyalah kawasan ladang dan semak samun. Tak nampak macam ada rumah orang pun kawasan sekitar situ.

"Alhamdulillah, nasib baik aku ikut firasat aku. Kalau aku ikut Waze, tak tahu la apa keadaan aku sekarang. Ini pengajaran penting untuk aku, jangan percayakan Waze 100 peratus," kata Azam menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain