suria

Ingkar larangan tidur telentang, remaja hadir kem jati diri nyaris ‘dijemput’ ajal... Dada terasa berat - “Masa tu terpampang wajah abah, ibu”

Gangguan makhluk halus boleh menimpa sesiapa yang lemah semangat. -Gambar hiasan

ADAB memasuki tempat baharu, seseorang itu perlulah cakna dengan budaya dan pantang-larang di kawasan tersebut.

Jika dilanggar, kemungkinan besar tuan empunya badan bakal menerima padah.

Begitulah kisahnya untuk seorang remaja dikenali sebagai Alif (bukan nama sebenar) yang menerima gangguan misteri ketika mengikuti kem jati diri anjuran sekolahnya di sebuah kawasan pedalaman di Perak.

Menurut Alif, sebelum kejadian dia tidak merasakan apa-apa yang aneh mengenai kem tersebut, melainkan satu perkara yang didengarinya ketika sesi taklimat.

Hutan merupakan tempat kediaman jin. -Gambar hiasan

"Aku datang dengan rombongan dua buah bas, kami semua pelajar tingkatan 4. Program ni tiga hari dua malam. Katanya ini aktiviti terakhir kami di luar sekolah sebelum masuk tingkatan 5, selamat tinggal zaman honeymoon.

"Keadaan kem tu nampak hening, sebab terletak di pinggiran bukit serta kawasan sekitar banyak desa, sejuk mata memandang. Kami sampai dekat kem tu dah hampir tengah hari, gerak dari Kuala Lumpur awal pagi.

"Selepas lunch, abang dan kakak fasilitator di kem tu minta kami berkumpul, nak bagi sedikit penerangan. Aku dengar acuh tak acuh je sebab dah masuk bermacam kem sebegini sejak awal sekolah dulu, semua lebih kurang sama je.

"Cuma satu benda yang tiba-tiba mencuri tumpuan aku, seorang fasilitator ni cakap begini... tolong baca ayat Kursi dan pastikan tubuh tidur dalam keadaan mengiring malam nanti. Ini kali pertama aku dengar arahan yang macam ni," ujar Alif terkedu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pandu tengah malam, pemuda dakwa ada kuasa ghaib kawal Waze! Suruh masuk 3 simpang tak wujud, halang keluar dari lokasi terpencil

Selesai taklimat, Alif dan rakan-rakannya menunaikan solat Zuhur secara berjemaah sebelum memulakan aktiviti lasak, mereka dilihat tidak mengambil pusing mengenai pesanan yang sedikit janggal itu.

"Sebelum sampai kem lagi, aku dah fikir yang badan ni mesti akan kena lenjan kaw-kaw punya, jadi aku harus bersedia fizikal dan mental. Sangkaan aku tepat, dari pukul 3 petang sampai dekat Maghrib bermacam aktiviti kami buat.

"Team building, permainan survival dan permainan tradisional semuanya dibalun serentak. Apabila masuk waktu Maghrib, aku dah mula penat. Kami masuk ke bilik masing-masing, dalam setiap bilik tu ada empat katil dua tingkat.

"Aku dapat katil bawah yang berdekatan pintu masuk. Selepas dah kemas barang, mandi dan solat maghrib, aku baring sekejap atas katil, tak fikir dah pun nak makan malam. Sekali aku terlelap, lena betul jadinya.

Kini aku dapat pengajaran berharga, jangan sesekali melanggar pantang-larang di suatu tempat itu.

ALIF

"Aku tak pasti berapa lama aku tidur, tiba-tiba kawan aku tepuk badan aku, kejut suruh bangun... weh Lep, kau tidur telentang ni, ayat Kursi pun tak baca lagi, tak ingat ke abang fasi pesan apa tadi," imbas Alif.

Namun kerana keletihan yang teramat, Alif tidak mengendahkan teguran rakannya dan terus dibuai mimpi.

"Aku tepis tangan kawan aku tu, tak larat nak layan, aku mahu sambung tidur je. Aku buka mata sikit, aku nampak bilik dah gelap, semua orang dalam keadaan mengiring, sudah bersedia nak tidur.

"Pedulikanlah, aku tutup mata balik, nak gerakkan badan pun tak mampu dah ni. Tak lama selepas tu, tengah aku sedap tidur, tiba-tiba dada aku rasa berat semacam, seperti dihempap sesuatu.

"Mula-mula aku boleh tahan lagi, tapi kemudian nafas aku mula tercungap-cungap, nak tarik masuk oksigen pun tak lepas, aku jadi sesak. Badan aku kaku, seolah-olah beku, tak boleh bergerak untuk bertindak.

Rumah yang ditinggalkan menyimpan pelbagai kisah misteri. -Gambar hiasan

"Lidah aku pula kelu, tak berupaya untuk memanggil pertolongan, tak berkebolehan membaca ayat suci Al-Quran. Mata aku terbuntang luas, hanya gelap-gelita di depan aku, seperti ajal yang sedang merenung diri," ujar Alif cemas.

Tatkala dirinya dirasakan di penghujung hayat, Alif mengumpul saki-baki tenaga untuk cuba menyelamatkan nyawanya.

"Dalam minda aku seperti ada wayang sedang bermain, terpampang wajah abah dan ibu di rumah, adik-beradik aku, kucing kesayangan yang bernama Gurey. Segenap memori hidup aku dimainkan semula, babak demi babak diputarkan.

"Adakah ini perasaannya untuk nyawa berpisah daripada tubuh? Tapi aku belum bersedia untuk ucapkan selamat tinggal kepada dunia ini, bekal amalan aku masih belum cukup. Maka dengan sepenuh kudrat aku paksa diri aku untuk bangun.

"Allahuakbar! Aku jerit sekuat hati, akhirnya aku mempunyai kawalan semula ke atas diri aku. Dada aku berombak dan badan aku lencun dengan peluh. Aku terus buka lampu dan kejut semua kawan aku.

"Kini aku dapat pengajaran berharga, jangan sesekali melanggar pantang-larang di suatu tempat itu," kata Alif mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube