suria

“Tiba-tiba dia merangkak macam harimau” - Isteri tersirap darah tengok suami, akhirnya teka-teki mantera belakang pintu bilik tidur terjawab!

Perbuatan menuntut ilmu salah dan khurafat bertentangan dengan ajaran Islam. -Gambar hiasan

TIADA salahnya untuk setiap daripada kita bersikap cerewet dalam mencari pasangan sehidup semati.

Ini kerana jika tersilap langkah, pasti merana sepanjang hayat.

Begitulah kisah dilalui seorang wanita dikenali sebagai Aina (bukan nama sebenar) apabila dia berkahwin dengan lelaki yang tanpa disedarinya mempunyai rahsia gelap.

Menurut Aina, dia menyedari sesuatu yang aneh tentang suaminya apabila mereka mula tinggal sebumbung.

Suami merupakan tempat bergantung harap seorang isteri. -Gambar hiasan

"Katakanlah suami aku bernama Ridzuan (bukan nama sebenar), aku perasan suami aku ni ada tampal kertas dekat belakang pintu bilik tidur kami, di atasnya tertulis ayat-ayat bahasa Melayu mirip mantra.

"Ayatnya agak panjang tapi ini satu potongan yang aku boleh ingat... aku panah bintang, aku panah matahari. Aku tahu itu bukan satu bentuk doa yang diterima di sisi agama. Jadi aku pun berdepan dengan suami aku, minta penjelasan.

"Maka suami aku pun mengaku yang dia pernah ambil ilmu daripada seorang pakcik ni, dia kena bertapa di dalam hutan selama beberapa malam dan baca banyak jampi. Mereka buat ni secara berkumpulan.

"Pada penghujung upacara, mereka akan duduk dalam satu bulatan sambil bersila, mulut terkumat-kamit membaca mantra, akhirnya mereka akan diberikan tangkal di dalam tangan. Suami aku terima taring harimau," imbas Aina

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar larangan tidur telentang, remaja hadir kem jati diri nyaris ‘dijemput’ ajal... Dada terasa berat - “Masa tu terpampang wajah abah, ibu”

Memandangkan nasi sudah menjadi bubur, Aina cuba untuk reda dengan takdir dan menerima keadaan suami seadanya.

"Aku pada mulanya tak percaya yang suami aku 'berilmu', tapi selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, aku perasan suami aku ni baran semacam, pedih juga hati aku menanggung makian dia setiap kali buat silap.

"Waktu ni aku sudah ada anak seorang umur 3 tahun. Sebab dah tak tahan sangat, aku balik kampung jumpa mak aku untuk luahkan isi hati ni, aku cakap yang aku dah tak mampu untuk teruskan perkahwinan dengan suami.

"Mak minta aku bertahan sebab kesian dekat anak. Ayah aku pula ikhtiar bawa aku jumpa kaunseling di jabatan agama, pada masa sama juga ayah aku panggil seorang ustaz ni minta untuk 'scan', risau mungkin terkena sihir pemisah.

Ustaz berusaha keras untuk pulihkan suami, tapi susah memandangkan 'ilmu' yang suami ambil tu tertanam dalam diri dia.

AINA

PENGADU

"Ustaz tu minta aku gambarkan macam mana keperibadian suami aku ni, aku pun ceritakan daripada A hingga Z. Kemudian ustaz tu ada bacakan beberapa doa pendinding untuk perlindungan aku, selepas tu aku dan ayah pun pulang," ujar Aina.

Menjelang tengah malam, bapa Aina menerima panggilan kecemasan daripada ustaz berkenaan.

"Ustaz tu beritahu isterinya diganggu teruk oleh sesuatu, ustaz minta suami, aku dan ayah untuk segera datang ke rumahnya. Sejam kemudian, ayah sampai dulu bersama adik lelaki aku dan seorang lagi rakannya.

"Setengah jam selepas tu, sekitar pukul 2 pagi, aku dan suami sampai. Ustaz terus minta suami duduk di tengah ruang tamu, ustaz macam syak ada benda tak kena dengan suami aku. Ustaz tak buang masa, dia bacakan ayat suci Al-Quran.

"Dalam sekelip mata, suami terus menggeliat, kemudian nada suara dia mula bertukar, dia mendengus seperti kemarahan. Sungguh tersirap darah aku apabila suami tiba-tiba merangkak macam harimau, dia bergerak ke arah adik lelaki aku.

Ilmu hitam hanya akan membawa mudarat kepada semua pihak. -Gambar hiasan

"Suami dengan suara garau cakap daripada dulu lagi dia memang tak suka adik aku, kau rajin solat, aku benci. Ustaz terus datang peluk suami aku dan cuba tenangkan dia," kata Aina cemas.

Si suami kemudiannya melalui beberapa siri rawatan Islam bersama ustaz tersebut, tetapi tetap menemui jalan buntu.

"Ustaz memang berusaha keras untuk pulihkan suami, tapi susah memandangkan 'ilmu' yang suami ambil tu tertanam sebati dalam diri dia. Dipendekkan cerita, akhirnya aku dan suami putuskan untuk bercerai.

"Kena fikirkan juga kesihatan mental aku dan anak, penat nak hadap baran suami sepanjang masa. Pada waktu sama, banyak berlaku kejadian aneh dekat rumah aku, naik bulu roma aku ingat kembali.

"Kali terakhir aku dengar, bekas suami aku kahwin baharu, tapi akhirnya bercerai juga. Selepas tu dia kahwin lagi sekali, tak pasti rumah tangga kali ni bertahan atau tidak.

"Akhir kata, kepada lelaki di luar sana, tolonglah jangan dekati ilmu-ilmu yang macam ni. Syirik itu adalah dosa besar," ujar Aina menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain