UMAT manusia hidup bersama pelbagai makhluk lain di atas muka bumi ini. Ada kalanya pertembungan antara manusia dan jin boleh berlaku. Begitulah kisah seorang pemuda dikenali sebagai Azam (bukan nama sebenar) yang berdepan gangguan paranormal di kediamannya sendiri. Menurut Azam, pada waktu kejadian, dia dan keluarganya sedang duduk bersantai di ruang tamu pada malam minggu. Kediaman juga belum tentu selamat daripada gangguan makhluk halus. -Gambar hiasan "Tengah kami rancak bersembang sambil menonton televisyen, abang sulung saya buka pintu jeriji dan masuk ke dalam rumah, nama dia Amirul. Kami sebenarnya memang tengah tunggu kepulangan dia pun. "Abang pergi berkhemah dengan kawan-kawan dia selama tiga hari dua malam, dia sepatutnya balik hari ni, tapi tak beritahu pukul berapa. Rupanya balik agak lewat juga, dalam pukul 9 malam baru sampai rumah. "Tapi sedikit pelik, abang pada malam tu macam muram, dia masuk rumah pun tak bagi salam, padahal baru balik dari luar. Kemudian dia tak ada langsung nak tegur kami berlima yang tengah melepak dekat ruang tamu. "Dari pintu rumah, abang terus jalan menonong naik ke bilik dia di atas tanpa menghiraukan kami, seolah-olah kami tak wujud di situ, sedikit pun tak pandang ke arah kami," ujar Azam terkilan. ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar larangan tidur telentang, remaja hadir kem jati diri nyaris ‘dijemput’ ajal... Dada terasa berat - “Masa tu terpampang wajah abah, ibu” Risau sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, Azam diminta oleh bapanya untuk pergi memeriksa keadaan si abang. "Abah siap cakap dekat saya, eh kenapa dengan along tu, dia macam tengah kusut je, cuba pergi check kejap. Saya sebagai anak yang taat pun naik la atas, nampaknya pintu bilik abang ditutup rapat. "Pelik, biasanya kalau abang ada di dalam bilik, dia akan biar pintu terbuka sikit supaya senang dengar kalau kami panggil dari bawah. Saya tengok bahagian bawah pintu pun gelap, abang terus tidur ke, lampu dah tutup? "Saya cuba ketuk pintu, tapi tiada siapa yang menyahut. Terdetik dalam hati, abang penat sangat kot, tapi pada waktu sama risau kalau apa-apa yang buruk berlaku dekat abang. Saya pun pulas tombol dan cuba buka pintu sikit. Nasib baik abang selamat, itu yang paling penting. AZAM "Saya perasan kipas bilik abang tak berputar, tak kan abang tidur dalam panas? Saya terus tekan suis untuk buka lampu, alangkah terkejutnya saya, abang tiada pun di dalam bilik tu, jadi siapa pula yang lalu di depan kami tadi?" soal Azam. Serentak dengan itu, bau harum yang menyengat mula hinggap di hidung Azam. "Ahhh sudah, bau apa pula ni, abang saya bukan sejenis yang pakai perfume dengan aroma sebegini. Bau wangi tu macam daripada bunga-bunga, saya pun tak pasti nak gambarkan macam mana, tapi yang pastinya memang janggal. "Bulu tengkuk saya dah mula meremang, tiba-tiba saya dengar keadaan riuh-rendah di bawah, saya terus turun untuk tengok apa yang berlaku. Hampir tersadung kaki ni sebab kelam-kabut menapak anak tangga. "Apabila sampai di ruang tamu, saya nampak ada beberapa lelaki berjubah putih dan berkopiah tengah papah abang masuk ke dalam rumah, sekali imbas mereka ni macam orang masjid. Saya nampak muka abang pucat lesi dan kelesuan. Suasana bilik yang merinding bulu roma. -Gambar hiasan "Saya terus cari salah seorang kawan abang untuk tanya apa yang terjadi. Sementara tu, saya lihat orang-orang masjid tu baringkan abang di tengah ruang tamu dan minta ibu bawakan air," kata Azam. Azam tercengang apabila diberitahu bahawa abangnya disampuk makhluk halus ketika berkhemah. "Kawan-kawan abang cakap dia tersilap masuk ke perkampungan bunian ketika sedang ralit mencari kayu api. Mungkin abang tak sedar dia dah melangkah jauh ke dalam hutan sampai melepasi sempadan antara dua alam. "Mujur ada orang kampung dekat situ yang mahir selok-belok rawatan Islam, mereka terus azankan di setiap penjuru hutan lipur sampai akhirnya abang ditemukan dalam keadaan yang lemah. "Untuk masa sekarang, abang perlu melalui beberapa siri rawatan untuk memulihkan kembali semangatnya dan menutup 'hijab' yang terbuka ketika di alam bunian. Nasib baik abang selamat, itu yang paling penting," kata Azam menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube