AZRAN termenung jauh di kaunter juruwang, runsing memikirkan jualan kedai makannya yang makin merudum. Sejak lima bulan beroperasi di sebuah lot rumah kedai di pekan Tangkak (bukan lokasi sebenar), Johor, kedai makannya yang mengetengahkan menu masakan Negeri Sembilan langsung tidak mencatatkan keuntungan. Hatinya resah memikirkan bagaimana dia boleh memperbaiki keadaan tersebut. "Tak boleh jadi ni... teruk aku kalau rugi je. Mana nak bayar sewa kedai, nak bayar gaji pekerja, beli barang lagi. "Habis duit simpanan aku kerja makan gaji sebelum ni. Takkan nak kena buat loan pula bayar semua benda," katanya dalam hati. Tiba-tiba dia tersentak apabila secara spontan terlintas idea di mindanya untuk menggunakan pelaris. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah agam mewah tepi jalan nampak suram... Panahan penyakit ain punca pemilik asal lumpuh, disihir orang terdekat ARTIKEL BERKAITAN: Perempuan ‘peruntuh masjid’ main kotor, guna sihir pemisah rampas suami orang! Pertemuan selepas 14 tahun buat bekas isteri terkejut "Perlukah aku cuba? Tapi, nampaknya macam tak ada pilihan lain," bisiknya lagi. Tanpa memberitahu isterinya, Azran mengambil keputusan untuk pergi ke rumah seorang dukun sebagaimana yang dicadangkan oleh rakannya, Mail. Dia terkejut sebaik sahaja dukun yang dikenali dengan nama Pak Herman (bukan nama sebenar) terus menyapa sebaik sahaja dia bersimpuh di hadapan lelaki berusia lingkungan lewat 60an itu. "Pelaris kedai kan?" Pak Herman bersuara. Azran yang sedikit gugup menganggukkan kepalanya. Antara contoh tulisan pelaris yang diletakkan di premis perniagaan. -Gambar hiasan Dia hanya memerhatikan dukun berkenaan membuat 'kerja' sambil mulut lelaki tua itu terkumat-kamit dan sesekali meniup ke arah asap kemenyan. "Kamu ambil bungkusan ni... tanam di depan kedai. Tapi ingat, sambil buat, baca ayat yang aku bagi ni," kata Pak Herman. Azran mengucapkan terima kasih dan memberi sekeping sampul berisi 'pengeras' sebelum meminta diri. Bisnes makin laris Seminggu kemudian, kedai makan Azran yang dahulunya sepi kini tak putus-putus dikunjungi pelanggan, terutamanya setiap kali hujung minggu. Malah, kuantiti masakan terpaksa ditambah dua kali ganda untuk menampung bilangan pelanggan yang ramai. Azran gembira melihat isterinya, Wardah yang kembali tersenyum dan tidak lagi merungut seperti sebelum ini. Minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, kedai makan Azran semakin meriah dan mula dikenali ramai. Pelanggan datang tanpa henti, dan suasana di kedainya kini sentiasa sibuk dengan riuh rendah suara pelanggan yang menikmati hidangan. "Syukur, bang. Untung kedai kita setiap bulan tak pernah kurang RM20,000. Kalau dulu, nak balik modal pun payah," kata Wardah. Azran hanya tersenyum lebar dan memeluk erat bahu isterinya. Musibah mula menjengah Awal pagi tadi, Azran dikejutkan dengan panggilan telefon oleh salah seorang pekerjanya yang memaklumkan kedai makannya dipecah masuk hingga menjadi tunggang-langgang selain peralatan memasak yang mahal 'lesap'. "Baru je dua bulan lepas bahagian dapur kedai terbakar. Minggu lepas, Wardah kemalangan hingga total lost Mercedes aku... pakai tak sempat setahun. "Sejak kebakaran tu, makin susut pula untung... orang pun dah tak ramai macam dulu," Azran berkata dalam hati. Syirik adalah perbuatan yang tergolong sebagai dosa besar. -Gambar hiasan Entah kenapa, dia tiba-tiba terfikir semua musibah yang berlaku mempunyai kaitan dengan pelaris yang digunakannya. "Eh kalau tak silap, tak lama dulu, ada seorang pakcik berjubah datang kedai... dia tengok-tengok je lauk. "Lepas tu datang jumpa aku, minta 'buang' benda yang tak baik sebelum keluar kedai. "Mungkin dia tahu.... Ya Allah, ampuni aku. Aku sedar, apa yang terjadi ini daripada hasil yang tak berkat," kata Azran perlahan sambil air matanya berlinangan. Sebagai peringatan bersama, memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, menggunakan pelaris untuk menarik pelanggan adalah termasuk dalam perkara-perkara khurafat dan boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT. "Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi dan amalkanlah ayat-ayat Quran di samping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berganda dalam perniagaan," demikian menurut laman berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube