TIDAK dinafikan, ramai dalam kalangan kita merupakan peminat barangan terpakai atau disebut 'bundle'. Golongan anak muda adalah antara penggemar atau pemburu barangan bundle khususnya daripada jenama terkenal luar negara. Selain boleh diperoleh dengan harga yang jauh lebih murah, kualiti barangan bundle juga tidak mengecewakan. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tumpah darah, gugur bayi sulung lepas jamah masakan biras... Rupanya dicampur air jampi, iri hati hamil awal! Namun dalam keghairahan membeli barangan terpakai, kita dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dikhuatiri barangan berkenaan mempunyai 'sesuatu' sehingga menyebabkan gangguan mistik kepada pemiliknya. Tular di laman TikTok perkongsian seorang perawat perubatan Islam, @farhan_almustakim yang berkongsi kisah seorang pesakitnya yang mengalami gangguan selepas kerap membeli pakaian bundle. "(Pesakit adalah) peminat pakaian terpakai. Kerap beli baju terpakai hampir setiap minggu. Lupa basuh, terus pakai," tulisnya dalam perkongsian video berkenaan. Menurutnya, antara gangguan yang dialami pesakit tersebut adalah: 1) Badan mengalami gatal-gatal 2) Badan terasa panas 3) Setiap malam rasa seperti 'ditindih' 4) Mengalami mimpi ngeri ketika waktu malam "Selepas rawatan, Alhamdulillah, pulih dengan izin-Nya," tulisnya lagi. Pakaian bundle mempunyai peminat yang tersendiri. -Gambar hiasan Perawat tersebut dalam pada itu turut menasihatkan peminat barangan bundle supaya membasuh pakaian yang dibeli terlebih dahulu sebelum memakainya untuk mengelakkan berlakunya gangguan. Nasihat perawat tersebut selari dengan pandangan yang diutarakan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus. "Islam sangat mementingkan kebersihan kerana syariat mengajar dan memerintahkan umat Islam mendahulukan kebersihan pada segenap aspek kehidupan. "Jika baju terpakai itu sudah bersih dibasuh oleh penjual dan tiada tanda-tanda terkena kotoran atau najis maka tidak wajib membasuhnya sekali lagi. "Jika memang ada najis atau kotor maka wajib dibasuh supaya bersih. "Jika dibasuh bukan kerana ada najis atau kotoran tetapi semata-mata supaya lebih yakin akan kebersihannya maka adalah elok," kongsinya. Kesimpulannya, lebih baik mencuci pakaian terpakai yang dibeli terlebih dahulu bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan gangguan tetapi lebih diyakini kebersihannya terutama jika mahu menunaikan solat. Dalam pada itu, kita dinasihatkan untuk mencontohi sunnah Rasulullah SAW dalam berpakaian, antaranya membaca doa sebelum mengenakan pakaian. Berikut adalah doa yang dianjurkan baginda: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan pakaian ini dan kebaikan sesuatu yang di dalamnya, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukan pakaian ini dan keburukan sesuatu yang ada di dalamnya". Semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube