suria

Jangan ‘seru’ puteri berangka ganjil! Individu singkap lirik lagu Ulek Mayang, ada kaitan alam bunian

Ulek Mayang merupakan antara lagu rakyat kebanggaan Terengganu. -Gambar hiasan

LAGU Ulek Mayang sememangnya tidak asing lagi bagi kita, terutamanya kepada mereka yang berasal dari Terengganu.

Tarian dan liriknya yang penuh misteri bisa membuatkan bulu roma sesiapa sahaja meremang apabila mendengarnya.

Namun, apakah sebenarnya kisah di sebalik lagu Ulek Mayang sehingga orang dulu-dulu melarang keras ia dinyanyikan sesuka hati?

Melalui akaun TikTok @adameji7, individu tersebut berkongsi cerita menarik mengenai asal-usul lagu Ulek Mayang yang mungkin tidak begitu familiar kepada generasi muda ketika ini.

Lagu Ulek Mayang dikatakan bermula ratusan tahun dahulu.

Ulek Mayang merupakan lagu rakyat yang dimainkan sehingga kini. -Gambar hiasan

Dikatakan, kisahnya bermula ratusan tahun dahulu sebelum kewujudan Tanah Melayu, iaitu pada era animisme pra-Islam, ketika masyarakat mempercayai semangat pokok, batu dan alam ghaib.

"Ceritanya berkisar tentang sekumpulan nelayan yang pergi ke laut. Malang tidak berbau apabila ombak besar melanda mereka. Walaupun kebanyakan nelayan selamat pulang, hanya seorang daripada mereka tidak kembali ke darat.

"Nelayan yang hilang itu akhirnya ditemui terdampar di pantai, tidak sedarkan diri, seolah-olah sudah mati... rohnya dipercayai tidak berada dalam badannya," kongsi individu tersebut.

Masyarakat tempatan ketika itu percaya roh nelayan berkenaan terperangkap di alam ghaib kerana diminati salah seorang daripada tujuh puteri bunian.

Lagu tersebut dinyanyikan oleh bomoh untuk mengembalikan rohnya.

Persembahan Ulek Mayang di mana seorang 'bomoh' berusaha untuk mengembalikan roh nelayan. -Gambar hiasan

Untuk menyelamatkannya, penduduk kampung meminta bantuan seorang bomoh.

Bomoh berkenaan bertarung dengan puteri bunian dan akhirnya berjaya menyedarkan kembali nelayan tersebut.

Bomoh tersebut turut 'memujuk' puteri bunian dengan menyediakan makanan berupa pulut kuning, yang dikenali sebagai 'nasi berwarna' untuk dihanyutkan ke laut sebagai balasan.

Bait dalam lagu Ulek Mayang iaitu 'Aku tahu asal-usulmu, biarkanlah yang laut pulang ke laut, yang darat pulang ke darat' menggambarkan penyelesaian yang dicapai antara bomoh dengan puteri bunian berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyi lagu Ulek Mayang waktu malam masa ‘camping’, 4 sahabat pulang awal! Si penyanyi ‘dipanggil’ terjun sungai

Istilah ulek dalam lagu ini bermaksud memuja atau menyeru, amalan yang dikaitkan dengan ritual zaman dahulu.

Namun, dengan kedatangan Islam, amalan ini dianggap khurafat dan telah ditinggalkan.

Kini, lagu Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan tanpa sebarang unsur ritual.

Menariknya, lagu ini hanya menyebut puteri bunian bernombor genap seperti Puteri Dua, Puteri Empat, dan Puteri Enam, tetapi tidak menyebut puteri bernombor ganjil.

Mitos mengatakan bahawa puteri bunian bernombor ganjil dipercayai lebih berkuasa, dan menyebutnya boleh mengundang kemarahan mereka.

Pada dasarnya, Ulek Mayang adalah kisah cinta yang tidak kesampaian, tidak jauh beza dengan cerita cinta zaman moden.

pic 1

Elakkan memainkan lagu Ulek Mayang di kawasan yang tidak sesuai, contohnya di hutan. -Gambar hiasan

Menerusi video tersebut, warga maya turut berkongsi pengalaman menyeramkan yang dialami mereka gara-gara memasang lagu Ulek Mayang.

“Kawan saya terjumpa buku lirik Ulek Mayang dan dia pun nyanyi lagu itu sebanyak tiga kali. Tiba-tiba dia kena rasuk, dan ustaz saya terpaksa keluarkan jin itu sampai dia menangis. Kawan saya nampak tujuh puteri sedang menari tarian tradisional di belakang pintu kelas. Mereka memakai baju merah, kuning, dan ungu, tetapi wajah mereka tiada.

"Masa camping sekolah tahun lepas, waktu malam kebudayaan, ada kumpulan pasang lagu Ulek Mayang. Ada junior dan senior menangis dan iya, mereka nampak 'benda' tu.

"Betul... dulu pernah saja-saja pasang dekat asrama, kemudian ada kes histeria," demikian antara komen netizen.

Dikatakan bahawa memainkan lagu ini boleh menyebabkan kerasukan, pertemuan dengan makhluk halus, atau gangguan jin.

Siapa tahu apa yang mungkin berlaku? Lebih baik elakkan memasang atau menyanyikannya lebih-lebih lagi jika berada di kawasan hutan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain