suria

Debaran kian terasa! Norish Kareem cari pereka tempatan sertai pertunjukan fesyen sempena London Fashion Week

PENTAS peragaan London Fashion Week (LFW) atau Minggu Pertunjukan Fesyen London bukan sahaja menjadi impian model-model bertaraf antarabangsa, malahan pereka fesyen dari seluruh dunia.

LFW menjadi medan untuk pereka fesyen menonjolkan kreativiti masing-masing di mata dunia.

Pereka fesyen tempatan, Norisk Kareem berpeluang melebarkan sayap buat julung kalinya ke minggu pertunjukan fesyen berprestij tersebut yang akan berlangsung pada September depan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Barbie' dapat anugerah tertinggi industri fesyen Amerika!

Peluang tersebut akan membuka mata dunia terhadap bakat pereka lain dari Malaysia yang turut menyertai Norish Kareem pada minggu pertunjukan fesyen itu.

Norish Kareem (empat dari kanan) bersama wakil Matrade dan sebahagian pereka tempatan yang bakal menyertai NKFW di LFW.

Tidak terhenti di situ, Norish Kareem juga akan mengadakan acara fesyen menerusi labelnya sendiri, NK Fashion Week (NKFW) bersempena penganjuran LFW.

Antara jenama tempatan lain yang akan menyertai NKFW ialah Fana Couture, Lila Majnun, Ummiriaz International, MW by Mimi Wahedah dan Liza Azulkarnain.

"Semakin dekat dengan tarikh pertunjukan barulah debaran itu kian terasa kerana ini merupakan kali pertama saya menganjurkan pertunjukan fesyen di sana.

"Sudah pastinya ada gimik nanti, tapi biarlah rahsia dahulu. Apa yang boleh dikongsikan adalah gimik itu nanti melibatkan selebriti dari United Kingdom (UK)," katanya ketika ditemui selepas sidang media NKFW di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) baru-baru ini.

Pereka yang memiliki butik yang beroperasi di Marylebone, London itu bakal menampilkan koleksi yang lebih kasual dan memenuhi cita rasa pasaran antarabangsa.

Sudah pastinya ada gimik nanti, tapi biarlah rahsia dahulu. Apa yang boleh dikongsikan adalah gimik itu nanti melibatkan selebriti dari UK.

NORISH KAREEM

Pereka fesyen

Norish Kareem yang lebih dikenali dengan signatur manik dan sulaman itu akan membawakan perubahan konsep 360 darjah iaitu kombinasi linen yang ringkas.

Pada minggu fesyen itu nanti, sebanyak 30 ke 100 koleksi akan diketengahkan yang turut melibatkan karya pereka tempatan lain.

Pereka tersebut turut mengalu-alukan lebih ramai pereka tempatan untuk menyertai NKFW dan mereka yang berminat boleh menghubunginya sebelum penghujung Julai ini.

Penyertaan tersebut bukan sahaja 'milestone' kepada pengkarya tanah air, malahan mereka berpeluang untuk tampil dalam majalah fesyen antarabangsa seperti Harpers Bazaar, Cosmopolitan dan Elle UK.

Mimi Wahedah (kanan) menunjukkan salah satu koleksi jenamanya.

"Apa yang saya cari adalah pereka yang yakin untuk mempersembahkan karya mereka ke pentas antarabangsa.

"Sama ada jenamanya sudah kukuh atau tidak di Malaysia, itu soal kedua... yang penting kena yakin untuk menonjolkan keunikan rekaan sendiri," ujar Norish Kareem.

Selain Malaysia, NKFW juga bakal menampilkan rekaan daripada pereka UK, Dubai dan Turki.

Pertunjukan fesyen itu akan diadakan di Central London, bagaimanapun lokasi penganjurannya masih belum diputuskan.

Artikel Lain