suria

Throwback baju kahwin rekaan Rizman Ruzaini... yang mana idaman kalbu?

Baju kahwin Fasha Sandha dan Nur Fazura yang direka oleh Rizman Ruzaini. Foto Instagram @rizmanruzaini

SIAPA tidak kenal dengan pereka fesyen duo Rizman Ruzaini. Dua nama besar ini cukup sinonim dalam bidang hiburan apabila banyak mereka busana untuk artis terkenal tanah air termasuk Nur Fazura, Fasha Sandha, Ziana Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Rizman Ruzaini bukan sahaja menjadi pilihan selebriti untuk mengayakan rekaan mereka di acara karpet merah malah menghasilkan busana perkahwinan.

ARTIKEL BERKAITAN: Debaran kian terasa! Norish Kareem cari pereka tempatan sertai pertunjukan fesyen sempena London Fashion Week

Mode minggu ini mengimbau lima rekaan terbaik Rizman Ruzaini yang pernah digayakan oleh selebriti tempatan pada hari bahagia mereka.

1. Nur Fazura

Aktres dan penyanyi terkenal itu cukup sinonim dengan jenama itu apabila banyak menggayakan rekaan Rizman Ruzaini di pelbagai acara penting sebelum ini.

Jadi tidak hairan, Nur Fazura memilih pereka fesyen itu untuk mereka busana pada majlis resepsinya bersama suami, aktor Fattah Amin.

Konsep minimalis dan timeless pada dress moden Fazura cukup menyerlah sesuai dengan kejelitaan pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu.

2. Elfira Loy

Ball gown dengan rekaan klasik pasangan duo itu sebenarnya membuatkan Elfira Loy nampak menyerlah meskipun aktres itu seorang yang kecil molek.

Ternyata pilihan warna putih dan baby pink pada kemasan gaun itu cukup padan dengan Elfira dan paling penting masih nampak sopan memandangkan pelakon itu memakai hijab.

Veil meleret yang disambung pada tudung dikenakan Elfira juga melengkapkan gayanya ketika bersanding di sisi suami.

3. Amyra Rosli

Berbeza dengan Elfira, Rizman Ruzaini memilih rekaan penuh perincian pada ball gown untuk Amyra Rosli yang cukup memukau sesiapa sahaja yang melihat.

Pemilihan warna merah jambu serta penggunaan manik perhiasan juga tindakan bijak dalam menaikkan seri gaun dengan potongan ringkas itu.

4. Izara Aishah

Rekaan berkonsepkan Greek Goddess untuk Izara Aishah cukup sesuai dengan pelakon itu malah pemilihan warna kelabu lembut itu memang padan dengan si pemakai.

Sesuai dengan imej Izara, perincian sulaman dengan manik pada bahagian pinggang dress itu menampakkan bentuk tubuh aktres itu lebih menarik.

5. Fasha Sandha

Pelakon jelita ini pakailah apa pun pasti nampak cantik dan tidak terkecuali gaun moden meleret berwarna pink untuk majlis resepsi bersama suami Aidil Aziz di Perlis baru-baru ini.

Rekaan gaun meleret pada bahagian belakang ditambah veil dengan kepanjangan sama memberikan impak dramatik kepada Fasha.

Jadi mana satu rekaan perkahwinan Rizman Ruzaini kegemaran anda?

Artikel Lain