PASUKAN Gimnastik Kebangsaan kini tampil bergaya apabila pakaian rasmi mereka mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal Malaysia, Melinda Looi. Melinda yang cukup sinonim dengan rekaan avant-garde dan vintaj memberi sentuhan istimewa kepada eksklusif itu yang jelas mempamerkan unsur pahlawan zaman moden yang diilhamkan oleh harimau iaitu haiwan kebanggaan negara yang melambangkan simbol keberanian dan kekuatan gimnas negara. ARTIKEL BERKAITAN: Debaran kian terasa! Norish Kareem cari pereka tempatan sertai pertunjukan fesyen sempena London Fashion Week Tidak hairan Melinda dipilih untuk menggalas tanggungjawab itu kerana pereka fesyen itu sendiri cukup terkenal dengan kreativitinya dalam menggabungkan fungsi serta rekaan yang menarik. Malah Melinda sendiri pernah bertindak sebagai pereka fesyen untuk pakaian seragam atlet kebangsaan (Wira Malaysia) ketika menyertai Sukan Komanwell XX di Glasgow, Scotland pada 2014. Melinda Looi. Nampaknya rakyat Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan pakaian terbaharu itu apabila gimnas negara bakal membuat kemunculan pertama di pertama di Kejohanan Dunia Gimnastik Berirama 2019 yang berlangsung di Moscow, Rusia pada 19 Julai ini. Sembilan gimnas bakal mewakili Malaysia pada pertandingan itu sekaligus mempamerkan outfit terbaharu itu ke pentas dunia. Kerjasama di antara Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dan Melinda itu sebagai satu usaha memperkukuhkan identiti korporat selain mengangkat sukan gimnastik ke peringkat lebih tinggi. Penghasilannya juga antara langkah dalam memperkenalkan imej terbaharu gimnas negara selain menarik minat penggemar sukan itu.