suria

Pakaian sopan batik Borneo Jameqha sudah masuk pasaran di London!

Rafidah melancarkan jenama Jameqha Kuala Lumpur sejak 2014. - Foto Instagram @theloftstudioasia

SIAPA sangka permulaan sebagai cabang perniagaan secara kecil-kecilan sekitar lima tahun lalu telah membawa jenama Jameqha Kuala Lumpur ke benua Eropah!

Label itu mungkin agak asing berbanding jenama-jenama tempatan sedia ada namun pemiliknya Rafidah Yahya @ Hashim membuktikan rekaan berteraskan batik Borneo mampu berdiri setanding fesyen lain di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakaian terbaharu pasukan gimnastik negara hasil sentuhan Melinda Looi

Malah koleksi terbaharu wanita berusia 47 tahun itu turut dijual menerusi butik dalam talian berpangkalan di London, Modestrove London sejak tiga bulan lalu.

Kimono labuh antara rekaan best seller Jameqha. Foto Ihsan @theloftstudioasia

"Modestrove sebenarnya menawarkan pelbagai jenama pakaian sopan berikutan permintaan di sana terhadap pakaian itu memang cukup memberangsangkan.

"Penggemar fesyen di sana pula memang suka mencuba benda baharu dan pihak Modestrove cukup menggemari corak batik Borneo pada pakaian yang saya hasilkan untuk dijual di pasaran London.

"Alhamdulillah ini permulaan yang baik bukan sahaja untuk Jamiqha tetapi membawa batik Malaysia ke mata dunia," katanya kepada mStar.

Rafidah bersama pengacara Amy Nur Tinie yang juga model untuk rekaan terbaharu Jameqha.

Bagi koleksi terbaharunya, Rafidah berkata, dia hanya memfokuskan kepada 17 rekaan iaitu blaus dan Kimono labuh yang menggunakan fabrik sutera.

Obses dengan perkara berkaitan tradisional dan antik, Rafidah berkata, atas dasar itu juga dia memilih batik Borneo untuk diketengahkan dalam koleksinya.

"Corak dan elemen yang ada pada batik Borneo sangat unik dan cantik membuatkan saya benar-benar tertarik.

Blaus dengan rekaan ringkas bermotifkan batik Borneo tampak elegan apabila digayakan dengan skirt.

"Tetapi bagi tidak merosakkan keindahan yang sudah ada padanya sebab itu saya pilih rekaan yang ringkas dan selesa dipakai," ujarnya.

Gemar pakai jaket beri idea tubuhkan Jameqha

Berbicara lanjut mengenai idea pakaian tersebut, Rafidah berkata ia datang daripada dirinya sendiri selepas mengambil keputusan untuk memakai hijab lima tahun lalu.

Kata Rafidah, dia gemar menyarungkan jaket memandangkan ia ringkas dan mudah dipadankan dengan pakaian asas yang lain selain ia dapat menutup bahagian dada sekiranya memakai tudung singkat.

Hanya mengenakan kimono labuh berjaya menukar penampilan anda lebih elegan.

Bagaimanapun katanya, masalah timbul apabila kebanyakan material jaket dibelinya menggunakan fabrik tebal dan menyebabkan tidak selesa.

"Sejak dulu memang saya suka pakai jaket sebab senang dan apabila saya mula memakai tudung ia menjadi penyelamat dalam memastikan gaya saya tidak keterlaluan selain dapat menutup bahagian dada.

"Sebab itu saya ambil keputusan untuk buat sesuatu yang memang saya pakai seharian tetapi menggunakan fabrik yang lebih ringan agar tidak panas dan masih boleh menjaga aurat dengan sempurna.

"Faktor ini juga saya titik beratkan kerana saya ingin membantu wanita lain yang bertudung tetapi masih mahu berfesyen dan mementingkan penjagaan aurat serta keserderhanaan," jelasnya yang juga mempunyai syarikat pengiklanan dan produksi.

Jenama Jameqha kini masuk pasaran di London.

Mengakui perjalanannya dalam bidang fesyen masih panjang, Rafidah bagaimanapun optimis dalam memperluaskan batik Malaysia ke mata dunia walaupun sedar ia bukan tugas mudah.

Malah kata ibu kepada dua cahaya mata ini, dia merancang untuk tampil dengan rekaan menggunakan fabrik organik sebagai mengorak langkah ke peringkat antarabangsa.

"Apa saya lakukan bukan sekadar fesyen tetapi mendidik masyarakat tentang keunikan yang kita ada selain ingin membawa nama Malaysia ke luar.

"Saya sentiasa berpegang bahawa kita perlu berani dalam melakukan sesuatu walaupun terpaksa berhadapan dengan rintangan kerana pada akhirnya semua usaha itu akan berbaloi," katanya.

Artikel Lain