JANGAN sempitkan pemakaian anda dengan satu gaya jika anda mahu menyerlah dan siapa tahu anda berkebolehan dan berbakat menjadi style influencer ? Min Luna antara generasi muda yang sedang rancak membina nama sebagai fashion stylist berjaya di Malaysia. Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ella serta selebriti lain seperti Lisa Surihani, Zahirah MacWilson, Neelofa dan Scha Alyahya antara nama-nama besar yang pernah mendapat sentuhan 'magis' fashion stylist, Min Luna. Bercakap mengenai fesyen dan gaya pemakaian, penata gaya yang berusia 35 tahun itu tidak kedekut untuk berkongsi 5 tips kepada mStar untuk kelihatan menyerlah dengan stail tersendiri. 1) Tahu Cara Berpakaian Semestinya, jika anda mahu dikenali dan cara berpakaian anda diikuti, anda mestilah kreatif dan tahu cara-cara untuk memilih pakaian yang betul ! Terdapat empat style tricks yang boleh dijadikan rujukan supaya anda tidak ketinggalan dan lebih berkeyakinan dalam menggayakan apa-apa fesyen. Kuasai 'style tricks' untuk tampil lebih bergaya dalam mengenakan apa-apa fesyen. i) Pilih warna yang betul Tahukah anda ? Pemilihan warna yang tepat penting kerana ia bukan sahaja dapat mencerminkan personaliti anda tetapi boleh mempengaruhi emosi, malah perasaan orang di sekeliling anda. Warna yang sesuai dengan musim panas seperti merah, kuning dan jingga untuk mewujudkan keharmonian, manakala warna-warna sejuk yang boleh anda pakai untuk menimbulkan suasana nyaman pula seperti biru, hijau dan ungu. ii) Kombinasi warna yang betul serlahkan stail anda tersendiri Sudah tentu anda tidak mahu kelihatan kusam dan boring terutamanya jika ingin gaya penampilan anda menjadi perhatian dan rujukan dalam berfesyen. Berikut merupakan kombinasi warna yang anda boleh padankan untuk tingkatkan keberanian dan keyakinan. Inilah masanya untuk tonjolkan pakaian-pakaian yang anda sembunyikan di dalam almari pakaian. Sebagai contoh, padanan warna hijau dan jingga, merah jambu dan hijau serta merah dan jingga. Kombinasi warna yang betul serlahkan personaliti anda. iii) Gayakan T-shirt ringkas dengan kreatif Kemeja-t dan jeans merupakan pakaian asas yang paling ringkas untuk digayakan, malah ada caranya untuk jadikan pakaian ringkas ini kelihatan lebih menarik dan tidak membosankan. Sebagai contoh, gayakan outfit anda dengan kasut tumit tinggi untuk kelihatan lebih feminin tetapi ringkas. Padankan aksesori yang tidak terlalu sarat seperti anting-anting ataupun rantai untuk kelihatan anggun dan menawan. 2) Fokus pada estetik Jika anda merupakan pelajar jurusan fesyen atau minat dalam bidang fesyen, inilah masanya untuk mencungkil bakat anda ! Mungkin anda berkebolehan menjahit, pakar dalam menggayakan dan mengenakan renda (lace) pada pakaian, pastikan hasil kerja anda diketahui dan dikenali. 3) Dapatkan aksesori signatur anda Jika anda gemar mengenakan aksesori rantai atau anting-anting dalam menggayakan penampilan anda, ini lah masanya untuk anda tampilkan koleksi anda untuk kelihatan menarik. Selain itu, jika anda salah seorang penggemar topi, boleh gayakan koleksi topi yang anda kumpul bersesuaian dengan penampilan anda. Solekan dan dandanan rambut naikkan seri wajah. 4) Jangan lupa solekan di wajah dan dandanan rambut Solekan di wajah mampu menaikkan seri muka malah menjadikan anda lebih berkeyakinan, tetapi perlu menggunakan teknik solekan yang betul supaya tidak terlalu over dan pucat. Kalau anda seorang yang free hair, jangan takut untuk mengenakan fesyen rambut terkini. Apa yang penting, rambut anda rapi dan kemas supaya kelihatan lebih segar dan bersih. 5) Jangan jadikan saiz badan sebagai penghalang untuk berfesyen, yakin diri ! Jangan jadikan saiz badan sebagai alasan untuk tidak berfesyen serta takut untuk bermain dengan warna kerana anda boleh memilih fabrik yang betul untuk kelihatan lebih kurus. Jangan takut untuk mencuba gaya baru kerana anda perlu yakin dengan penampilan yang mencerminkan personaliti anda. Takkan la sampai ke sudah anda mahu memakai warna hitam ? Ceriakan diri anda dan cuba sesuatu yang baru.