SEJAK Ahad lalu, nama Youtubers sensasi S. Pavithra menjadi perbualan hangat netizen tapi bukan disebabkan video masakannya tetapi ramai terpegun dengan kecantikannya persis seorang model ketika menjalani penggambaran di Sungai Siput, Perak. Gambar Pavithra yang dikongsi jurusolek selebriti, Razzi Musa di Instagramnya mendapat pujian netizen yang terpegun dengan kecantikan wanita berusia 28 tahun itu. Apatah lagi Pavithra menggayakan busana pereka fesyen terkenal seperti Datuk Bernard Chandran, Wanpa, Rizman Ruzaini dan Gayathiri Silk Sarees Palace. ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih Sugu dan Pavithra, kamu buka mata teman tentang erti kebahagiaan! Bercerita mengenai penggambaran bersama Pavithra sebagai muka depan majalah dalam talian Pepatung, Razzi berkata, ketika ditawarkan untuk menyolek wanita itu dia melonjak kegembiraan kerana memang mengikuti perkembangannya dan suami M. Sugu, 29, di saluran YouTube mereka. Razzi memilih solekan minimalis dan polos kerana wajah Pavithra sudah sedia ada jelita. "Sebenarnya saya memang follow pasangan ini sebelum saluran YouTube mereka menjadi viral lagi. Saya memang terpegun dengan kelembutan dan kecantikan semula jadi Pavithra. "Apabila ditawarkan untuk terlibat sebagai jurusolek photoshoot itu, saya terus bersetuju kerana memang ingin bertemu dan menyolek wajahnya," katanya ketika dihubungi mStar. Bercerita mengenai solekan untuk sesi fotografi itu, Razzi memberitahu dia hanya melakukan solekan minimalis dan polos pada wajah Pavithra kerana ingin menyerlahkan kecantikan semula jadinya. Razzi berkata, dia memilih solekan polos kerana Pavithra sendiri sudah mempunyai struktur wajah yang menawan selain warna kulitnya yang sekata dan tidak perlu solekan tebal. Pavithra dipilih sebagai wajah muka depan majalah dalam talian Pepatung. "Sangat mudah menyolek wajah Pavithra kerana struktur dan warna kulitnya memang sedia ada cantik tetapi dalam solekan polos itu saya masih ingin ketengahkan sisi moden dirinya. "Pemilihan solekan itu juga saya pilih kerana ingin memberitahu kepada masyarakat khususnya golongan wanita bahawa kita tidak perlu menggunakan bedak yang tebal untuk kelihatan cantik," katanya. Pada sesi fotografi itu, Razzi turut menampilkan lima look pada solekan Pavithra bagi memperlihatkan sisi berbeza dirinya namun tetap mengekalkan wajah polos wanita itu. "Tambah nilai yang ada pada diri Pavithra adalah apabila lengkap bersolek dan digayakan dengan busana disediakan, dia sendiri mampu bawa imej tersebut. Pavithra bersama suami dan dua anak lelaki mereka. "Jujur saya cakap, walaupun dia tiada pengalaman menjalani sesi fotografi tetapi dia sangat tenang dan berjaya menyerlahkan dirinya dengan bersahaja! "Wajahnya memang 'makan gambar' malah foto yang viral itu pun saya hanya ambil menggunakan telefon secara kandid ketika dia sedang bersedia di set," katanya. Razzi menambah, Pavithra mempunyai potensi cukup besar untuk berjaya model produk kecantikan atau muse sekiranya dia beri peluang. Pavithra dan suaminya mula mendapat perhatian netizen menerusi saluran YouTube mereka, Sugu Pavithra yang berkongsi pelbagai menu masyarakat India namun menggunakan bahasa Malaysia menambat hati penonton pelbagai kaum. Sehingga kini, saluran YouTube pasangan itu sudah pun mencecah 716,000 pengikut. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!